
Dua lelaki lalok hisap dadah bawa kereta sampai tertidur menyebabkan kemalangan
Dua lelaki lalok hisap dadah bawa kereta sampai tertidur menyebabkan kemalangan. Gara-gara terlelap selepas memandu di bawah pengaruh dadah menyebabkan sebuah kenderaan dinaiki dua lelaki hilang kawalan dan melanggar tiga kenderaan di Jalan Ipoh, Batu 5 menghala ke Batu Muda, dekat sini Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu berlaku apabila lelaki berusia 25 tahun memandu kenderaan jenis Nissan Sentra berwarna perak terlelap dan melanggar belakang sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, akibat kejadian tersebut, lori itu bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah motosikal di lorong sama menyebabkan penunggang motosikal terjatuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Eng Lai, kemalangan berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Kata beliau, anggota polis trafik yang sampai ke tempat kejadian melihat pemandu dan penumpang Nissan Sentra berusia 32 tahun dalam keadaan mencurigakan dan tidak sedarkan diri.
“Kedua-dua individu itu dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan disahkan positif dadah jenis methamphetamine, ketamin, erimine 5, ampetamin dan ganja (THC) selepas menjalani ujian saringan air kencing di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Kedua-dua individu itu ditahan dan disiasat oleh IPD Dang Wangi,” jelasnya.