Dua lelaki ditemukan maut dalam lubang pembetung undang tanda tanya.
Dua lelaki ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terperangkap dalam lubang pembetung di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Kemunting, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.29 pagi dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati lubang pembetung itu dianggarkan sedalam kira-kira 4.5 meter.
“Setibanya di lokasi, disahkan terdapat dua lelaki terperangkap dalam lubang berkenaan. Kami menggunakan alat pengesan gas bagi memastikan kewujudan gas tertentu di lokasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, anggotanya yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) serta peralatan menyelamat lain turun ke dalam pembetung berkenaan. Mereka membawa naik kedua-dua mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Maklumat awal mendapati mangsa bukan pekerja pembersihan, sebaliknya orang awam. Kemungkinan besar mereka melakukan sesuatu di dalam lubang berkenaan dan bukannya terjatuh ke dalam kerana lubang itu tertutup sebelum kejadian,” katanya lagi.
Artikel berkaitan: Dua lelaki maut dalam lubang pembetung disyaki curi kabel.
Mangsa dipercayai masing-masing berusia 27 dan 31 tahun.
Operasi tamat jam 12.35 tengah hari.