Dua beranak didenda RM860,000 kerana tangkap rama-rama.
Dua beranak warga Itali didenda AS$200,000 (RM860,400) kerana cuba menyeludup keluar ratusan serangga endemik termasuk 92 spesies rama-rama dari sebuah taman safari di Sri Lanka, lapor BBC.
Renjer di Taman Negara Yala menahan Luigi Ferrari, 68, dan anak lelakinya, Mattia, 28, pada 8 Mei lalu selepas mereka ditemukan bersama balang yang mengandungi serangga tersebut.
Hasil siasatan mendapati, mereka menangkap serangga itu dan menggunakan uncang lilin untuk mengawet tangkapan tersebut.
Kedua-dua mereka disabitkan kesalahan pada awal September kerana memungut, memiliki, dan mengangkut serangga secara haram. Mereka dikenakan denda tertinggi bagi kesalahan berkaitan hidupan liar di Sri Lanka.
Kedua-duanya berdepan hukuman penjara dua tahun jika gagal membayar denda sebelum 24 September.
Laporan berita dari Itali menyatakan bahawa mereka berada di Sri Lanka untuk bercuti semasa kejadian itu berlaku.
Ferrari, seorang pakar bedah ortopedik yang mahir merawat kecederaan kaki dan buku lali, juga disifatkan oleh rakan-rakannya sebagai seorang peminat serangga. Beliau juga ahli persatuan entomologi di Modena, sebuah bandar di utara Itali.
Taman Negara Yala, yang terletak di tenggara negara itu, merupakan salah satu taman hidupan liar yang paling popular di Sri Lanka.