Dua beradik dikejar lelaki bertopeng hingga ke hospital, abang maut ditetak

Photo of author

By Syima Iza

Dua beradik dikejar lelaki bertopeng hingga ke hospital, abang maut ditetak.

Seorang lelaki maut selepas ditetak oleh sekumpulan suspek bertopeng yang bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8.39 malam, mangsa berusia 24 tahun itu cuba diselamatkan oleh adiknya dengan membawa lelaki tersebut ke hospital. Namun, kedua-dua mereka dikejar oleh suspek sehingga ke Unit Kecemasan Hospital Jasin.

Dua beradik dikejar lelaki bertopeng hingga ke hospital, abang maut ditetak

Satu klip video berdurasi 25 saat berkaitan kejadian itu turut tular di media sosial sejak pagi tadi, menunjukkan pergaduhan antara sekumpulan individu berhampiran kawasan menunggu di hospital tersebut.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, ketika dihubungi mengenai klip tular itu, memaklumkan bahawa pergaduhan awal dipercayai berlaku di Taman Rim Baru apabila mangsa ditetak oleh sekumpulan individu bertopeng.

“Selepas ditetak, mangsa sempat menghubungi adiknya yang berusia 22 tahun untuk meminta bantuan membawanya ke hospital.

“Sejurus selepas mangsa diturunkan di Unit Kecemasan Hospital Jasin, kereta adiknya tiba-tiba dikepung oleh kumpulan yang sama. Mereka kemudian bertindak memecahkan cermin kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, susulan serangan itu, adik mangsa segera memecut kenderaan dan melarikan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ, untuk mendapatkan bantuan serta membuat laporan.

“Ketika cuba melarikan diri, pemuda itu turut melanggar sebuah ambulans hospital. Mangsa yang ditetak bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Jasin pada pukul 10.15 malam,” tambahnya.

Ahmad Jamil juga memaklumkan bahawa setakat ini, polis telah berjaya menahan tiga suspek berusia 21, 22, dan 31 tahun. Kesemua mereka telah direman sehingga 1 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-5209501 atau 06-529 2222 (sambungan 206).

Baca Juga:
Janna Nick dedah Ashraf Muslim buang sakanya, siap bersilat satu bilik
Dulu selalu buat main, tak sangka sekarang haiwan ini boleh buat duit sekilo RM4,000
Lelaki tercampak ke atas jalan raya dihempap tayar lori tercabut