Dron dilengkapi peluru ‘Syaitan kuboid’ bunuh kanak-kanak Palestin.
Tindakan tidak berhati perut apabila tentera Zionis dikesan menggunakan senjata quadcopter dron dilengkapi peluru ‘syaitan kuboid’ untuk menyerang dan membunuh kanak-kanak Palestin di Gaza.
Malah lebih menakutkan apabila dron berkenaan dilengkapi peluru pelet kuboid kecil yang turut mampu mendatangkan kecederaan parah sebaik ia menembusi tubuh mangsa.
Pakar bedah yang berkhidmat secara sukarela di Hospital Nasser, Gaza, Profesor Nizam Mamode memaklumkan, quadcopter dron milik tentera Israel akan menyasarkan kanak-kanak yang terbaring cedera sejurus pengeboman dilakukan.
Pakar bedah berusia 62 tahun itu memberitahu tentera Israel sengaja menjatuhkan bom di kawasan khemah pelarian atau lokasi yang sesak dengan pelarian Gaza.
Menurutnya, sebaik letupan berlaku dan mengorbankan ramai mangsa, quadcopter dron akan muncul bagi membunuh saki baki mangsa yang masih hidup atau cedera terutama kanak-kanak.
“Quadcopter dron ini akan berlegar di atas ruang udara dan menembak mati kanak-kanak malang.
“Ia jelas tindakan disengajakan dengan menyasarkan orang awam secara berterusan setiap hari.
“Peluru pelet kuboid kecil yang ditembak dron Israel menembusi perut kanak-kanak kecil. Antara mangsa paling muda terpaksa dibedah adalah berusia tiga tahun.
“Peluru pelet kuboid kecil ini jauh lebih berbahaya berbanding peluru biasa berikutan ia akan masuk ke dalam tubuh mangsa dan pecah menyebabkan lebih banyak kecederaan pada organ dalaman.
“Salah seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami kecederaan parah pada hati, limpa, usus dan arteri selepas ditembak menggunakan peluru kuboid ini,” katanya.
Difahamkan senjata buatan Israel ini sengaja direka bagi menghasilkan serpihan lebih kecil sekaligus menyebabkan kecederaan ngeri kepada orang awam di Gaza selain mencederakan kanak-kanak.
Peluru ini memiliki logam tambahan yang direka untuk pecah menjadi kepingan kecil berbentuk kuboid.
Doktor sukarela di dua hospital Gaza memaklumkan majoriti tugas mereka adalah menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang terkena serpihan kecil peluru kuboid ini.
“Peluru kuboid ini tidak meninggalkan luka ketara di bahagian luar tubuh mangsa namun mengakibatkan kecederaan parah kepada organ tubuh.
“Senjata itu kelihatan direka untuk memaksimumkan kematian kepada penduduk di Gaza,” katanya.
Sementara itu seorang pakar bedah, Feroza Sidhwa yang bertugas di hospital di Selatan Gaza sejak April lalu memaklumkan, separuh kes kecederaan dikendalikan adalah membabitkan kanak-kanak kecil.
“Kami melihat banyak kecederaan serpihan yang sangat kecil hingga sukar dilihat secara kasar.
“Ia jauh lebih kecil berbanding apa yang pernah saya lihat sebelum ini. Namun ia menyebabkan kerosakan besar pada bahagian dalam tubuh,” katanya.
Sementara itu pakar senjata berkata, serpihan dan luka dialami penduduk Gaza konsisten dengan senjata buatan Israel yang direka dengan matlamat membunuh lebih ramai mangsa.
“Ia tidak seperti senjata konvensional yang digunakan untuk memusnahkan bangunan.
“Kanak-kanak yang terkena beberapa serpihan kecil peluru kuboid ini seringkali mati. Ramai daripada mereka yang terselamat kehilangan anggota badan atau cacat,” katanya.
Sementara itu Pengarah Palestin EcoPeace Timur Tengah, Nada Majdalani, berkata, penggunaan meluas bom fosforus oleh tentera Israel turut menyebabkan ramai mangsa mengalami kesan lecur tahap iga dan keempat.
“Tisu kulit mangsa diresapi dengan zarah hitam bom kimia ini. Sebahagian besar atau semua lapisan di bawah kulit terbakar hingga ke tulang.
“Israel dipercayai menggunakan gabungan beberapa jenis gelombang bom pembakar dan komponen lain terhadap rakyat Gaza,” katanya.
Menurutnya, musim hujan yang berlaku kini di Gaza bertukar menjadi hujan asid yang tercemar dengan fosforus putih.
“Penduduk Gaza yang menadah air hujan untuk dijadikan air minuman amat berisiko terhadap bahaya kimia ini,” katanya.