Drama ‘Andai Tiada Dia’ meletop, ini komen suami Ummi Nazeera

Photo of author

By Syima Iza

Drama ‘Andai Tiada Dia’ meletop, ini komen suami Ummi Nazeera.

Suami kepada pelakon Ummi Nazeera, Dr Izzar Anwari, menganggap Andai Tiada Dia (ATD) sebagai drama terbaik untuk tahun 2024.

Drama ini banyak mengetengahkan topik berkaitan kesihatan.

Drama 'Andai Tiada Dia' meletop, ini komen suami Ummi Nazeera

Menurut Dr Izzar, Andai Tiada Dia berjaya mengupas isu-isu penting berkaitan kesihatan selain cuba menggunakan istilah dan situasi perubatan yang tepat.

“Banyak isu yang telah dikupas. Saya perasan ramai juga yang berkongsi pengalaman mengenai topik kesihatan yang dibincangkan. Terima kasih kepada semua kerana memberi ilham dan pengajaran kepada pembaca yang lain. Barulah kita sama-sama belajar. Saya doakan yang terbaik untuk semua.

“Tahniah kepada drama terbaik 2024, Andai Tiada Dia. Barisan pelakon yang mantap telah dikemudi oleh pengarah dengan cukup baik. Semua watak (utama dan pembantu) memang berfungsi dan memberi impak kepada penceritaan. Budaya dan makanan-makanan tempatan juga telah ditonjolkan.

“Cendol Falah, Satay Suri, Kelapa Tua Haikal, Penyapu Intan akan terus dikenang. Barulah kita boleh buat promosi makanan-makanan tempatan.

“Tema kekeluargaan juga diangkat dan ditonjolkan dengan mantap oleh watak Hj Idris, Hjh Halilah, Cikgu Misrah dan Ustaz Yusuf. Andai Tiada Dia juga dilihat cuba menggunakan istilah dan situasi perubatan yang tepat dan bukannya sekadar tangkap muat. Ini menunjukkan betapa mereka menghormati intelek penonton-penonton sekarang,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram.

Menggunakan Info Perubatan yang Betul

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Dr. Izzar Anwari (@izzar)

Dalam pada itu, Dr Izzar juga berterima kasih kepada drama tersebut kerana mendidik masyarakat dengan info perubatan yang betul.

“Itulah sebabnya saya ambil peluang untuk masuk dan memberi penerangan umum mengenai isu perubatan berkaitan. Ini adalah peluang untuk kita mendidik masyarakat dengan info perubatan yang betul. Semoga berjaya semua.

“Teruskan menonton drama-drama yang ada Ummi Nazeera. Maaf di atas segala kekurangan. Dengan ini, saya meletak jawatan sebagai pengulas tak bertauliah. Bye,” tulisnya lagi.

Andai Tiada Dia dibintangi oleh Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana, dan Zahiril Adzim sebagai teraju utama. Namun, di pertengahan cerita, Mimi Lana yang memegang watak Intan digantikan dengan pelakon Alicia Amin.

Episod akhir Andai Tiada Dia menyaksikan watak Falah yang dilakonkan oleh pelakon Zahiril Adzim disahkan meninggal dunia akibat mati otak.

Meskipun kematian Falah, namun rata-rata penonton merasakan drama itu bakal ada musim kedua kerana muncul satu watak baharu iaitu ‘Fatah’ yang juga dilakonkan oleh Zahiril Adzim.

Baca Lagi:
Ramai masih keliru hukum ucap, sambut perayaan bukan Islam, ini penjelasan mufti Pulau Pinang
Lelaki ini menyesal 6 tahun cari kerja tak pernah dapat
“Terpesona tengok pokok Krismas” – Pelakon Yati Suracham buat keputusan keluar agama Islam pilih agama Kristian