Dr Akmal minta penjelasan KTMB, saran buat parti liar di bilik CEO pula

Photo of author

By Syima Iza

Umno meminta penjelasan dan alasan utama pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membiarkan program yang disifatkan sebagai parti liar yang dinamakan Pinkfish Express di dalam gerabak kereta api seliaan pengendali perkhidmatan pengangkutan rel negara itu.

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, melihat kepada barisan kepemimpinan pihak KTMB yang rata-ratanya adalah Melayu beragama Islam, justeru penjelasan perlu dikeluarkan sama ada parti berkenaan sememangnya dibenarkan.

“Saya menerima video Pinkfish Express yang mana ada satu parti dijalankan dalam tren di bawah seliaan KTMB. Saya nak minta KTMB membuat penjelasan apakah Pinkfish ini dibenarkan dan apakah alasan kenapa KTMB ini membenarkan parti liar ini berlaku dalam gerabak kereta api di bawah KTMB?

Dr Akmal minta penjelasan KTMB, saran buat parti liar di bilik CEO

“Adakah alasan KTMB untuk menambahkan pendapatan? Saya tengok barisan CEO, Board of Director semuanya Melayu Islam. Jadi KTMB, saya mohon memberikan penjelasan yang sebaik-baik mungkin. Penjelasan yang tuntas supaya rakyat semua dapat tahu apakah penjelasan, apakah alasan utama KTMB untuk membenarkan parti liar ini dilakukan di dalam gerabak keretapi yang di bawah KTMB.

“Jadi kepada KTMB kalau alasannya adalah untuk menambahkan ruang ekonomi dan sebagainya, untuk tambahkan pendapatan maka selepas ini bolehlah kita buat semua kita minta buat parti liar dekat dalam bilik CEO juga. Jadi tolong KTMB, kita mahukan penjelasan yang cepat dan tuntas daripada KTMB,” katanya menerusi video berdurasi kira-kira dua minit di TikTok.

Sementara itu, KTMB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewaan khasnya (charter train) demi kepentingan orang awam dan syarikat itu.

Ini susulan kontroversi penganjuran pesta hiburan sempena ulang tahun ‘Pinkish Festival’ di tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah, Khamis lalu.

Dalam kenyataan malam tadi, KTMB memaklumkan pihak penyewa berkenaan mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihaknya.

“KTMB menetapkan syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang dan ia dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami.

“Peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan di mana kami menyediakan keseluruhan tren dan koc-koc mengikut permintaan pelanggan dan aktiviti yang direncana ditentukan sendiri oleh pihak pelanggan mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan,” menurut KTMB dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB di media sosial dengan lokasinya dipercayai di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan sama, KTMB memaklumkan ia memperkenalkan perkhidmatan charter train, sejak September 2021, kepada syarikat atau individu yang berminat untuk membuat sewaan tren khas.

Baca Juga:
Sekali seumur hidup, kejadian ‘meteor biru’ menerangi langit mengemparkan penduduk Sepanyol, Portugal
Lelaki dakwa diserang anak bekas wakil rakyat bergelar Datuk
Lelaki mengaku buat hubungan sulit dengan ibu mertua sebab jatuh cinta