Dr Akmal ‘bantai’ JAIM biarkan 34 murid sekolah agama belajar atas lantai

Photo of author

By Syima Iza

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhammad Akmal Saleh, mengecam amalan birokrasi dalam Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menyebabkan 34 murid sebuah sekolah agama di sini terpaksa belajar di atas lantai sejak setahun yang lalu.

Beliau juga mengkritik pegawai JAIM kerana gagal memastikan kemudahan kerusi dan meja boleh digunakan oleh murid setelah mendapat kelulusan Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka sejak Disember tahun lalu.

“Peruntukkan sudah masuk pada bulan 12 (2023), perlu sampai lima bulan? Ustaz buat apa ni ustaz?… inilah masalahnya kita ambil sambil lewa, buat banyak birokrasi akhirnya sampai lima bulan.

Dr Akmal 'bantai' JAIM biarkan 34 murid sekolah agama belajar atas lantai

“Orang (rakyat) mengadu kepada saya bertanya bila anak-anak boleh mendapatkan tempat duduk (kerusi dan meja) kerana kita duduk dalam Mesyuarat Exco paling lambat pun dua tiga bulan sebab kita sudah ada bajet,” luahnya melalui media sosial TikTok rasmi beliau, hari ini.

Situasi itu semakin tegang apabila individu yang dipercayai ustaz JAIM menyalahkan Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka kerana lambat menguruskan perkara itu.

Ketua Pemuda UMNO itu kemudian segera menghubungi Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh untuk mendapatkan penjelasan namun Salhah menafikan tuduhan tersebut kerana telah meluluskan peruntukan yang diperlukan.

“Sebab birokrasi JAIM ini yang saya rasa melambatkan kerja (dan) kalau nak kerja, buat cara untuk kerja, ustaz jangan sambil lewa kerana kita ini berkhidmat untuk rakyat.

“Kalau tidak, saya bawa dalam Mesyuarat Exco, kita rombak semua JAIM lagi senang,” katanya yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Keadaan bertambah panas apabila ustaz tersebut memberitahu bahawa mereka memerlukan tambahan lagi tiga bulan untuk menyelesaikan masalah itu.

“Lagi tiga bulan? Jumlah keseluruhan lapan bulan? Tak apa, saya tidak mahu dengar alasan, semua ada 34 murid, minggu depan saya beli.

“Kalau (pegawai) JAIM tidak boleh melakukan kerja, gantikan orang lain yang boleh melakukan kerja dengan cepat. Kalau tidak boleh bekerja dengan rakyat Melaka, pulanglah,” tegasnya.
Baca Juga:
Jangan kongsi baki akaun KWSP anda kepada umum, scammer sedang memerhati!
Anwar Ibrahim muat naik dua gambar penuh makna sempena Hari Ibu
Gara-gara tidur lepas asar, telatah lucu budak perempuan ini kalut bersiap ke sekolah bikin ramai terhibur