Doktor ini kongsi sebab kenapa perlu tidur dalam keadaan gelap.
Semua orang sedia maklum bahawa tidur yang cukup sangat penting untuk memastikan tubuh kekal sihat. Kekurangan tidur boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit.
Namun, masih ramai yang mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam walaupun sedar tentang kepentingan tidur yang mencukupi. Selain tempoh tidur yang cukup, mungkin ramai tidak tahu bahawa tidur dalam keadaan gelap tanpa pencahayaan juga memainkan peranan penting dalam kesihatan.
Doktor Nasihatkan Tidur Tanpa Cahaya
Seorang doktor pakar tulang, Dr. Zahir, baru-baru ini menasihati orang ramai supaya tidur dalam keadaan gelap tanpa sebarang pencahayaan.
Dalam satu video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, beliau menjelaskan bahawa kehadiran cahaya semasa tidur boleh mengganggu pengeluaran hormon melatonin, yang penting dalam mengawal pola tidur manusia.
@drzahir.ortho Bila waktu malam kenapa tidur kena tutup lampu..kena tahu ya #melatonin #hormon #hormonmelatonin #tidur #tutuplampu #sains #sendi #orthopedics #drzahir ♬ original sound – Dr Zahir Ortho
“Walaupun mata kita terpejam, tetapi jika ada pencahayaan, otak dan semua deria akan memberi tindak balas terhadap cahaya tersebut. Jadi, gelapkan bilik tidur untuk mendapatkan rembesan melatonin yang maksimum,” jelasnya.
Melatonin: Mekanisme Semula Jadi Penyembuhan Penyakit
Menurut Dr. Zahir, melatonin bukan sahaja membantu kita tidur, tetapi juga berfungsi sebagai mekanisme penyembuhan semula jadi yang diciptakan oleh Allah SWT untuk merawat pelbagai penyakit secara beransur-ansur.
Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai agar tidur dalam posisi mengiring ke sebelah kiri untuk kesihatan tulang yang lebih baik.
Apa Itu Melatonin?
Menurut perkongsian di Facebook oleh Dr. Zubaidi Hj Ahmad, melatonin adalah hormon semula jadi yang dihasilkan oleh kelenjar pineal, iaitu kelenjar kecil dalam otak yang bertanggungjawab mengatur pola tidur manusia.
“Pada waktu malam, tubuh menghasilkan lebih banyak melatonin untuk membantu kita tidur. Sebaliknya, pada siang hari, penghasilan melatonin berkurang, menyebabkan kita tetap terjaga,” katanya.
Faktor yang boleh mengurangkan penghasilan melatonin termasuk:
- Peningkatan usia
- Penyakit metabolik
- Pendedahan kepada radiasi elektromagnetik
- Cahaya lampu ketika tidur
Justeru, bagi mendapatkan tidur yang berkualiti, para pakar menyarankan untuk tidur dalam keadaan gelap sepenuhnya bagi memastikan tubuh dapat menghasilkan melatonin secara optimum dan mengekalkan kesihatan yang baik.