DJ Sonic dedah keperibadian sebenar Fazura yang ramai tak tahu.
Penyampai radio, DJ Sonic mendedahkan bahawa dia menerima banyak mesej di Instagram dan WhatsApp, malah ada yang menghubunginya untuk bertanyakan mengenai isu yang melibatkan aktres Fazura.
Insan yang baik
Penyampai radio berusia 45 tahun ini berkongsi di Instastory miliknya mengenai keperibadian Fazura yang sememangnya seorang yang baik terhadap semua orang serta sentiasa menjaga keluarganya dengan penuh kasih sayang.
“Terlalu ramai yang DM, WhatsApp, atau call saya bertanya hal Fazura! Sampai hari ini. Cuma satu saya nak beritahu, Fazura ni seorang insan yang sangat baik dengan semua orang, tak kira siapa pun anda.
“Faz terlalu kuat bekerja sampai saya tanya, Faz tak penat ke? Jawapan Faz mudah, dari kecil saya diajar untuk berdikari dan cari duit, ini dah macam rutin! Sesibuk mana pun Faz, dia tetap jaga keluarganya sebaik-baiknya,” kongsinya.
Utamakan keluarga
Dalam perkongsian yang sama, DJ Sonic turut memberitahu bahawa Fazura sentiasa mengutamakan keluarganya walaupun berada di luar untuk bekerja.
“Kalau kami keluar makan, tanpa gagal, Faz akan tapau makanan untuk keluarganya di rumah. Dia akan beli itu ini, setiap kali sentiasa tengok masa… nak balik!
“Tanggungjawab seorang ibu! Yang rapat sahaja tau… hebat dan baiknya insan bernama Fazura ini,” kata DJ Sonic lagi.
Spekulasi keretakan rumah tangga
Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah menjadi spekulasi di media sosial apabila mereka didakwa tidak lagi meninggalkan komen atau memberi tanda suka pada hantaran di akaun masing-masing. Mereka juga dikatakan tidak lagi memuat naik gambar bersama di platform media sosial.
Walau bagaimanapun, Fazura sebelum ini menafikan dakwaan bahawa hubungannya dengan suami bermasalah.
Sehinggalah pada pagi Jumaat, Fazura memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun.