Dilabel tidak cakna tentang All Eyes on Rafah di sesi live IG, ini jawapan Ning Baizura

Photo of author

By Syima Iza

Penyanyi Ning Baizura menjelaskan bahawa dia bukanlah tidak sensitif mengenai isu Palestin atau tidak peka tentang All Eyes on Rafah sewaktu melakukan video live di Instagram (IG) miliknya pada Selasa lalu.

Sebaliknya, kata Ning, kejadian itu berlaku ketika dia sedang sibuk melayan permintaan peminatnya untuk menyanyikan lagu yang mereka ingin dengar.

“Sesi live itu adalah Ning Oke Session iaitu sesi karaoke saya bersama peminat. Ia satu malam yang saya dedikasikan untuk menghiburkan dan mendekati peminat-peminat saya. Ketika permintaan dibuat, saya membaca komen-komen mereka dan saya tanyakan kepada mereka kenapa nama mereka susah disebut dan ada tak nama yang senang sikit untuk dipanggil.

Dilabel tidak cakna tentang All Eyes on Rafah di sesi live IG, ini jawapan Ning Baizura

“Ketika itulah muncul komen itu (tentang Rafah) dan saya tanya siapa dan ia terkeluar daripada mulut saya secara tiba-tiba kerana pada waktu itu keadaan agak kelam kabut kerana saya kena buat muzik karaoke, saya yang bertindak sendiri sebagai moderator, pasang lampu dan macam-macam lagi.

“Kalau anda semua ada peluang tontonlah video itu, ia masih ada di IG saya. Saya tidak mempersendakan tentang situasi atau tempat. Saya tidak tanya apa itu (what’s that), saya kata siapa itu (who’s that) yang merujuk kepada nama-nama orang apabila membuat live,” katanya dalam satu perkongsian di IG miliknya sebentar tadi. Baru-baru ini, netizen mempertikaikan Ning kerana didakwa tidak mengetahui mengenai Rafah apabila dia menjawab “All eyes on Rafah? Siapa itu?”

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ning Baizura (@ningdalton)

Rakyat Palestin yang dibedil Zionis sejak Oktober tahun lalu kini mendapatkan perlindungan di kota Rafah.

Mengulas lanjut, Ning berkata perkara itu menjadi tular kerana netizen tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam sesi live di Instagramnya.

“Mudah bagi orang untuk sunting dan potong, sunting dan potong (video live IG miliknya) dan menjadikannya seperti apa yang sedang tular sekarang ini atau apa yang telah anda tularkan di luar sana.

“Terus-terang, saya tidak berniat menyakiti hati sesiapa. Saya tahu apa yang sedang berlaku di Palestin dan saya juga banyak melakukan sumbangan untuk mereka di sana.

“Tapi, bila kita buat benda-benda amal ini, kita tidak perlulah uar-uarkan sangat perkara ini. Benda ni datang dalam hati kita,” katanya.

Ning memberitahu, dia turut melakukan sumbangan untuk Gaza bersama Dee Jangan Ketawa pada bulan puasa baru-baru ini serta beberapa lagi kerja amal berkaitan Palestin dengan beberapa pereka fesyen tanah air.

“Saya bukan hendak melakukan justifikasi terhadap apa yang saya lakukan untuk membantu mengisi dana tabung Palestin.

“Tetapi sebagai manusia, anda perlu menilai sesuatu perkara daripada kedua-dua pihak. Kita harus melihat dan selidik dahulu sebelum kita nak mengeluarkan kata-kata yang sangat keras di IG.

“Segelintir pengikut saya tampil bersuara. Terima kasih atas sokongan anda. Dan kepada mereka yang bukan peminat, macam-macam perkataan tidak baik dan tidak sedap yang keluar untuk ibu dan anak saya dengar yang bagi saya agak mengarut,” katanya.

Tambah Ning lagi, dia bukan sengaja mendiamkan diri apabila isu mengenai live IG miliknya itu menjadi tular.

“Tetapi saya mengambil masa untuk menghadam selepas apa yang berlaku. Tetapi tidak perlulah melatah atau menghukum seseorang. Terpulanglah pada anda semua untuk fikir apa sahaja tentang diri saya tetapi janganlah tutup periuk nasi saya.

“Apa yang saya buat ini adalah tulus ikhlas datang dari hati. Kalau nak terima, terimalah. Yang penting, Allah SWT sahaja yang tahu,” katanya.

Baca Juga:
Serangga merayap keluar dari kulit badan, lelaki ini dakwa terkena perbuatan sihir
Tular wanita bertudung sembanyang cara pelik, ramai salah sangka, rupa-rupanya…
Selepas tular keluhan kakitangan perubatan di papan kenyataan, ini reaksi Menteri Kesihatan