Digelar ‘Sotong stawberi’ kerana berwarna merah jambu, badan berbintik seperti manik.
Lautan yang terbentang luas kelihatan kosong di permukaannya. Namun, siapa sangka, di bawah permukaan air yang luas itu, terdapat pelbagai spesies hidupan air dengan pelbagai saiz. Sejak penerokaan dasar laut beratus tahun lalu, spesies hidupan laut tidak pernah berhenti dicatat dan ditemui. Setiap tahun, ada sahaja spesies baru yang ditemui dengan rupa dan bentuk badan yang luar biasa aneh.
Keadaan lautan yang gelap dan kedalamannya yang tidak diketahui sememangnya menakutkan, dan ia membangkitkan rasa gerun apabila memikirkan hidupan yang ada di dalamnya. Seringkali kita melihat hidupan laut yang bergigi besar dan tajam dengan mata yang menggerunkan. Bahkan, ada juga hidupan yang mampu menghasilkan cahaya dan elektrik pada tubuhnya.
Namun, tidak dapat dinafikan, terdapat juga hidupan laut yang cantik dan comel, seperti ikan lumba-lumba dan karang laut dengan pelbagai warna.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai spesies sotong berwarna merah jambu dengan tubuhnya yang dipenuhi bintik-bintik menyerupai manik. Tidak pernah terfikirkan kita bahawa ada hidupan laut yang ‘berbaju’ cantik dan bercahaya seperti itu.
Berikut adalah 10 fakta menarik mengenai sotong strawberi diva ini:
Pengenalan Pertama: Sotong strawberi pertama kali dicatatkan dalam rekod hidupan laut pada tahun 1913 oleh Samuel Stillman Berry. Berry merupakan seorang ahli zoologi dan pakar malakologi, yang mengkhususkan diri dalam spesies Mollusca seperti siput, kerang, sotong dan lain-lain.
Penemuan Terbaru: Penemuan terbaru pada tahun 2019 menunjukkan bahawa sotong strawberi boleh mencapai saiz sehingga satu meter, dengan panjang badan atau mantel sahaja mencecah 29 sentimeter.
Penemuan Semasa Pelayaran: Sotong strawberi ini juga ditemukan pada hari terakhir pelayaran Deep-Sea oleh para saintis NOAA. Ketika pukat tunda terakhir kapal milik NOAA yang diberi nama Henry B. Bigelow ditarik, tiga ekor sotong strawberi tertangkap di perairan tengah, di zon mesopelagik.
Fakta seterusnya, sotong strawberi hidup di zon mesopelagik, yang terletak pada kedalaman antara 200 meter hingga 1000 meter. Di kedalaman ini, hanya sedikit cahaya matahari yang dapat menembusi air laut.
Nama ‘strawberi’ diberikan berdasarkan warna kulit sotong ini yang menyerupai warna buah strawberi dengan kehadiran bintik-bintik merah jambu. Menariknya, warna merah yang dilihat pada permukaan laut akan berubah menjadi warna hitam di kedalaman tersebut, jadi ia amat membantu sotong strawberi untuk bersembunyi daripada pemangsa.
Selain itu, ‘manik’ yang terdapat di seluruh badan sotong ini, yang dipanggil photophores, membantu sotong strawberi dalam menyamar apabila diancam. Teknik penyamaran ini dipanggil counter-illumination. Sotong strawberi akan menyesuaikan kecerahan cahaya yang dipancarkan melalui ‘manik’ di tubuhnya supaya menyerupai cahaya yang datang dari permukaan air. Dengan cara ini, bayang-bayang yang terbentuk dapat dikurangkan, sekaligus memudahkan sotong strawberi untuk mengelakkan diri daripada dikesan oleh pemangsa.
Tahukah anda, sotong strawberi merupakan satu-satunya sotong dengan mata yang berbeza saiz. Sebelah mata sotong ini lebih besar berbanding mata yang lagi satu. Bukan itu sahaja, mata yang besar ini turut terbonjol keluar dengan warna yang aneh, iaitu kuning terang.
Seorang ahli biologi dari Duke University, Kate Thomas berjaya merungkai misteri di sebalik keanehan ini. Menurutnya, secara teori, mata yang lebih besar ini bersifat sensitif terhadap cahaya matahari dari permukaan air. Mata kuning ini membantu sotong diva menangkap kehadiran mangsa yang juga mempunyai penyamaran counter-illumination.
Pembentukan mata besar ini hasil evolusi sotong strawberi bagi mengadaptasi keadaan gelap di zon mesopelagik. Manakala mata yang lebih kecil pula bertindak sebagai pengimbas kehadiran pemangsa atau mangsa yang memancarkan cahaya bioluminesen.
Ini membawa kepada fakta menarik seterusnya. Sotong strawberi juga mempunyai badan yang bioluminesen, iaitu kemampuan untuk menghasilkan cahaya sendiri. Kebanyakan haiwan laut memiliki ciri ini untuk menarik mangsa atau mengelirukan pemangsa.
Seterusnya, disebabkan badannya yang besar, sotong strawberi turut memakan ikan kecil, krustasea, dan juga sotong kecil yang lain.
Fakta menarik terakhir yang ingin Min kongsikan ialah spesies ini merupakan antara hidupan laut yang bermigrasi di lautan. Ia akan berada di kedalaman 660 kaki hingga 3300 kaki pada waktu siang, dan menuju ke perairan yang lebih cetek pada waktu malam.