Detik lelaki bertopeng larikan emas 4.1kg bernilai RM1.5 juta sempat dirakam orang awam.
Detik kejadian samun yang membabitkan sejumlah emas yang dilarikan oleh sekumpulan individu di sebuah premis memproses emas di Jalan Bendahara, di sini hari ini sempat dirakam oleh orang ramai yang berada di sekitar.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata, dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, suspek terdiri daripada beberapa lelaki yang mengenakan topeng muka dan bersenjatakan parang serta melarikan diri dengan menaiki tiga kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran yang disyaki palsu.
Menurutnya, tiga kenderaan yang dinaiki suspek adalah jenis Volvo berwarna putih, BMW warna coklat, dan Toyota Estima warna hitam.
Katanya, kejadian berlaku ketika dua mangsa baru keluar dari sebuah premis perniagaan di lokasi itu dengan membawa beg berisi barang kemas yang dianggarkan seberat 4.1 kilogram (kg) dan bernilai lebih RM1.5 juta, sebelum tiga kenderaan yang dinaiki suspek datang menghampiri.
“Semasa hendak menyimpan beg di dalam but kenderaan, suspek itu meluru dan terus melanggar bahagian belakang kereta mangsa lalu merompak mangsa.”
“Dalam insiden itu, beberapa orang saksi awam melihat kejadian tersebut dan merakam video menggunakan telefon bimbit bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak forensik sedang menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan, selain berharap agar tiada sebarang spekulasi dibuat mengenai kejadian itu yang boleh mengganggu siasatan.