Detik cemas penumpang mengamuk cuba buka pintu kecemasan pesawat di udara.
Sebuah klip video tular di media sosial memaparkan seorang penumpang cuba membuka pintu kecemasan semasa penerbangan Korean Air KE658 berada di udara, lapor saluran berita New Zealand Herald semalam.
Kejadian berlaku di dalam pesawat jenis Airbus A330-300 yang sedang dalam perjalanan dari Bangkok, Thailand ke Seoul, Korea Selatan.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @someone.around.5, penumpang lelaki itu dilihat memusingkan pemegang pintu secara berulang kali sebelum dia dikepung oleh beberapa kru penerbangan.
Bahkan, dia sempat bertindak agresif dengan memukul salah seorang pramugari yang cuba menghalangnya.
Menurut pihak Korean Air, penumpang tersebut mengamuk selepas diminta untuk kembali ke tempat duduk asalnya.
“Selepas kru penerbangan meminta lelaki tersebut untuk kembali ke tempat duduknya, dia menunjukkan tindakan agresif seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan pergerakan yang mengancam nyawa,” kata syarikat itu.
Pesawat tersebut akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, dan penumpang berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
@someone.around5A passenger on Korean Air flight KE658 from Suvarnabhumi Airport to Incheon attempted to open an emergency exit mid-flight