Pada usia 88 tahun, model tertua di China, Wang Deshun masih gagah dan mampu memukau ramai penggemar fesyen di pentas peragaan.
Awal bulan ini, ‘datuk terhangat di pasaran’ itu sekali lagi mencuri perhatian dunia ketika berjalan di pentas Minggu Fesyen Shanghai, memperagakan koleksi terbaharu musim sejuk dengan susuk tubuhnya yang masih tegap dan bergaya.
Deshun yang juga seorang pelakon mula mencipta nama sebagai model fesyen ketika muncul memperagakan rekaan seluar tanpa baju di pentas Minggu Fesyen China di Beijing pada 2015.
Gaya jalan ikonik dan bersahaja Deshun ketika acara itu begitu diingati ramai hingga berjaya mendapat pelbagai tawaran daripada beberapa rumah fesyen terbesar dunia.
Beliau awalnya menceburkan diri dalam bidang lakonan, pantomim serta seni persembahan sebelum mencuba nasib sebagai model dengan kejayaan yang luar biasa di usia emas.
Deshun memasuki dunia peragaan selepas Pereka China, Hu Sheguang terlihat fotonya yang terpapar di skrin telefon bimbit anaknya QQ, ketika mereka bertemu dalam urusan kerja.
Sheguang terus melamar Deshun untuk projek terbaharunya dan warga emas itu menerima cabaran tersebut yang akhirnya mengubah hidupnya menjadi bintang fesyen terkenal.
“Orang ramai boleh mengubah hidup mereka seberapa banyak yang mereka mahu. Menjadi sihat dari segi mental bermakna anda tahu apa yang anda akan lakukan.
“Tidak pernah terlalu tua untuk mengejar impian anda, usia tidak pernah menjadi halangan. Lakukan sahaja apa yang anda mahu,” kata Deshun ketika ditemu bual New York Times.
Selain keberanian bergelar model pada usia 80 tahun, Deshun juga dikagumi kerana kemampuannya memperoleh lesen juruterbang dan belajar menunggang motosikal serta kuda pada usia 85 tahun.