Datuk A. Aida kecewa kontrak perkhidmatan ahli lembaga Finas ditamatkan. PENERBIT Datuk A. Aida meluahkan rasa kecewa apabila kontrak perkhidmatannya sebagai ahli lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ditamatkan secara tiba-tiba berkuat kuasa 16 Disember tahun lalu.
A. Aida atau Zaidah Awang, 53, juga keliru dengan keputusan tersebut memandangkan perkhidmatannya yang bermula pada 15 Jun 2022 adalah mewakili kelompok industri dan bukannya atas dasar kepentingan politik.
“Saya terima dan pasrah dengan keputusan tersebut. Namun saya juga tertanya-tanya kenapa diberhentikan memandangkan lantikan saya adalah mewakili industri. Saya tiada kaitan atau kepentingan dengan mana-mana parti politik.
“Dalam masa sama saya juga rasa kecewa sebab ada tiga perkara yang saya mahu perjuangkan. Saya berkorban terima jawatan ini sebab kalau jadi lembaga tidak boleh ambil dana Finas. Saya buat sebab nak majukan industri,” katanya kepada mStar.

Terdahulu nama A. Aida antara tujuh ahli lembaga yang ditamatkan perkhidmatan termasuk bekas pengerusi Finas iaitu Senator Datuk Seri Zurainah Musa.
Penamatan tugas itu selari dengan surat yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) bertarikh 14 Disember 2020 yang mana semua perkhidmatan dengan lantikan politik ditamatkan secara serta merta.