Dari gurauan kawan, wanita baru tahu selama 24 tahun hidup dengan ibu bapa palsu.
Seorang wanita di utara China mendapati dia bukan anak kandung ibu bapanya selepas menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan gurauan rakan sekerjanya yang mengatakan dia tidak kelihatan seperti penduduk tempatan.
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), selepas keputusan ujian tersebut, pengguna media sosial di China memberi sokongan kepada wanita itu untuk mencari ibu bapa kandungnya.
Dalam temu bual bersama stesen penyiaran Henan pada 24 Oktober lalu, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Dong, 24, berkongsi kisah bagaimana rakan-rakan sekerjanya sering mengulas mengenai penampilannya yang berbeza.
“Saya tinggal di Xinxiang sepanjang hidup saya, tetapi selepas mula bekerja, rakan-rakan saya sering berkata, ‘awak tidak kelihatan seperti kami langsung. Hidung awak lebar, bibir awak tebal, dan mata awak lebih besar serta dalam berbanding kami’.
“Mereka juga berkata, ‘awak tidak kelihatan seperti orang dari Henan’,” cerita Dong sambil mengenang kembali komen rakan sekerjanya.
Terganggu dengan ulasan tersebut, Dong bertanya kepada ibu bapanya, namun mereka enggan memberikan jawapan yang jelas dan malah memberikan maklumat bercanggah mengenai kelahirannya.
Akibat rasa ingin tahu yang semakin membuak dan kekeliruan mengenai asal-usulnya, Dong akhirnya memutuskan untuk menjalani ujian genetik.
“Setiap malam saya berfikir, dari mana sebenarnya saya berasal,” katanya.
Keputusan ujian itu menunjukkan kemungkinan besar Dong berasal dari wilayah Guangxi, yang terletak jauh di selatan China, sekali gus menafikan sebarang kaitan dengan Henan.
Selepas berita ini tersebar, seorang wanita bernama Qi dari Guangxi menghubungi Dong kerana merasakan Dong mungkin anaknya yang telah lama hilang.
“Kebetulan yang menarik, wanita muda itu (Dong) juga berusia 24 tahun, sama seperti anak saya yang hilang. Saya melihatnya dan merasa dia mirip anak perempuan saya walaupun saya tidak pernah sempat melihatnya selepas dia dilahirkan.
“Saya mengalami kesedihan yang amat mendalam selepas bersalin dan sering menangis di depan suami setiap hari, tertanya-tanya ke mana anak perempuan kami hilang,” kenang Qi.
Qi dan Dong mempunyai beberapa persamaan, termasuk ciri-ciri wajah yang hampir serupa.
Nama yang didaftarkan kepada Dong juga mengandungi perkataan ‘Lan’, sama seperti nama anak perempuan Qi yang hilang.
“Jika benar terbukti mereka adalah keluarga kandung saya, ini adalah berita paling menggembirakan dalam hidup saya,” kata Dong.
Difahamkan, Qi dan anak lelakinya kini sedang merancang perjalanan ke Henan untuk bertemu dengan Dong.
Sukarelawan dari Baobei Huijia, sebuah pertubuhan kebangsaan yang aktif dalam pencarian orang hilang di wilayah Guangxi, turut dihubungi untuk membantu mengumpulkan sampel DNA dan menjalankan ujian untuk pasangan berkenaan.