Dapat anak sumbing, suami cerai isteri talak tiga ketika masih dalam ‘labour room’.
Tular di TikTok mengenai pengalaman pedih yang dialami oleh para ibu ketika berada di wad bersalin. Ada yang mengalami sendiri pengalaman itu, dan ada juga yang menyaksikan pengorbanan ibu-ibu tidak dihargai oleh suami mereka.
Antara kisah yang paling mengejutkan adalah apabila seorang suami sanggup menceraikan isteri dengan talak tiga hanya kerana melahirkan bayi istimewa yang menghidap sindrom down.
Terdapat juga kes di mana suami tidak dapat menerima kenyataan apabila anak mereka dilahirkan dengan sumbing, sehingga nekad menceraikan isteri yang masih berada di bilik bersalin.
Pada saat isteri memerlukan sokongan suami selepas mengalami keguguran, ada segelintir suami yang langsung tidak peduli akan penderitaan isteri.
“Saya pernah dimasukkan ke wad kerana keguguran, suami tidak datang. Saya terpaksa pulang sendiri dengan berjalan kaki ke rumah. Apabila sampai, saya melihat dia ketawa-ketawa bersama keluarganya di depan TV.”
Lebih menyedihkan, ada suami yang menganggap isteri sebagai beban kerana perlu menjaga mereka yang sedang sakit di hospital.
Di ruangan komen, ramai wanita meluahkan rasa terkejut dan mengkritik tindakan tidak berperikemanusiaan segelintir suami.
“Bila perkahwinan hanya kerana nafsu semata-mata, lebih baik jangan berkahwin. Kesian kaum perempuan yang teraniaya.”
Mereka menegaskan bahawa isteri yang telah bertarung nyawa melahirkan zuriat seharusnya dilayan dengan baik, bukan dibuang seperti ‘kain buruk’.