Jika dahulu medan menyampaikan dakwah hanya terhad di masjid, surau, atau melalui institusi agama, kini seiring dengan perkembangan teknologi dan ledakan media sosial, ramai golongan agamawan mula menggunakan platform tersebut sebagai medan menyebarkan ilmu terutama berkaitan Islam.
Menggunakan kelebihan yang ada, ‘geng’ Masjid Jamek Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor menukar cara berdakwah menerusi video berunsur komedi bagi memastikan mesej disampaikan lebih mudah difahami oleh penonton.
Sering mendapat tontonan tinggi serta memasuki FYP (For You Page), kebanyakan video pendek di platform TikTok itu mengetengahkan ‘bilal kerdil’ sebagai pelakon utama.
Imam masjid berkenaan, Mohamad Zaid Mohamad Amran berkata, pendekatan sedemikian mampu menarik perhatian terutama golongan muda untuk lebih memahami dan mempelajari ilmu agama.
“Jika dilihat dari perwatakan Shaqiq (bilal kerdil), dia tidak sesuai berdakwah secara serius.
“Sebab itu kebanyakan video yang tular dan FYP, dia pelakon utama. Namun dalam setiap video, lawak itu tidak berlebihan, tidak menjatuhkan imej masjid dan situasi yang dilakonkan sebenarnya pernah berlaku di masjid itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Terdahulu, sebuah video mengenai cara makmum menegur imam ketika solat terbatal mendapat lebih enam juta tontonan dengan hampir 400,000 tanda suka di platform berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meninggalkan komen positif dan mencadangkan agar penyampaian secara santai dan lawak diteruskan.
@masjid.kg.nakhoda Rujukan :al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab #ilmuagama #makmum #imam ♬ original sound – Masjid Kg Nakhoda