Da’i Syed mengaku tiada lagi tawaran kerja, rancang jual gelang perhiasan wanita.
Selepas berdepan dengan pelbagai kontroversi, termasuk kes rogol, pendakwah selebriti Da’i Syed mengakui bahawa dia kini tidak lagi menerima tawaran kerja.
Namun, Syed, yang nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 29, berkata beliau reda dengan ketentuan Allah dan tetap berpegang teguh pada rezeki yang diberikan-Nya.
“Setakat ini, saya memang sudah tiada sebarang tawaran kerja, tetapi insya-Allah kalau Allah takdirkan ada rezeki, ada lah,” katanya.
Syed mengungkapkan perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi sebutan rayuan berhubung sabitan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas pertuduhan merogol seorang wanita pada tahun 2019.
Ditanya mengenai sumber pendapatan, Syed memberitahu bahawa dia dan isterinya, Hana Ismail, sedang merancang untuk kembali aktif dalam perniagaan dalam talian.
“Kami dalam perancangan untuk memulakan semula bisnes menjual gelang perhiasan wanita dari Mesir. Insya-Allah, saya akan mulakan siaran langsung di TikTok dan untuk semua, bolehlah sokong dan beli barangan kami,” ujarnya.
Berdasarkan reaksi negatif netizen berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapinya, pelantun lagu Lama Tkoni itu mengakui membaca komen-komen tersebut, namun memilih untuk tidak memendam perasaan.
“Saya ada baca (komen netizen) tetapi tidak simpan dalam hati, sekadar tengok sahaja. Saya sebagai manusia pun ada rasa sedih,” kata Syed.
Berkenaan kes mahkamahnya, peguam Syed, Amin Othman, memaklumkan bahawa mereka sedang menguruskan kes berkenaan dengan menfailkan petisyen rayuan.
Tambah Amin, perbicaraan kes Syed akan disambung semula pada 10 Disember depan.
Terdahulu, pada 30 Ogos lalu, Syed telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah merogol seorang wanita di sebuah kondominium pada tahun 2019.
Namun, selepas 21 hari menjalani hukuman, Syed dilepaskan sementara daripada menjalani hukuman tersebut pada 20 September lalu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Penangguhan hukuman itu adalah sehingga rayuan yang dikemukakan oleh pendakwah tersebut didengar dan diputuskan.