Dahlah kereta rosak, kena ragut pula

Dahlah kereta rosak, kena ragut pula

Seorang pencuci kereta dan pembantu kedai makan ditahan selepas disyaki meragut seorang wanita di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 33 dan 32 tahun itu ditahan antara jam 1.30 pagi hingga 3 pagi, hari ini di sekitar Shah Alam dan Klang.

Katanya, polis terdahulu menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita berusia 58 tahun, pada jam 8.35 pagi, semalam.

“Wanita berkenaan memaklumkan dia berhenti di tepi jalan kerana kereta yang dinaiki mengalami kerosakan sebelum dua suspek yang menaiki motosikal berhenti dan berpura-pura menanyakan sesuatu.

Dahlah kereta rosak, kena ragut pula

“Salah seorang suspek kemudian bertindak mengambil dompet mangsa yang berada dalam beg silang yang dipegang oleh mangsa. Mangsa kemudian memegang tangan suspek dan akibat daripada itu, mangsa terseret di atas jalan raya seterusnya mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua tangkapan positif dadah jenis Methamphetamine.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala serta kaki kiri dan mendapat rawatan di Hospital Shah Alam.

“Mangsa juga mengalami kerugian dokumen pengenalan diri, kad bank, dan wang tunai RM500,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 2 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Insp Mohamad Zulkifli Bin Mohamad di talian 011-16958529.

Terdahulu, tular rakaman video papan pemuka sebuah kereta yang memaparkan kejadian seorang wanita diragut hingga terseret oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal di tepi jalan Lebuhraya KESAS susur keluar ke arah Kota Kemuning.

Baca Juga:

Rider berkelakuan pelik hantar makanan jam 2 pagi minta tumpang tandas, wanita minta bantuan pak guard
‘Kembang tekak’ Mi sizzling datang bersama kepulan asap rupanya berlaukkan ayam berulat
Budak 7 tahun di Terengganu jual ‘aiskrim Malaysia 50 seng’ raih perhatian ramai
CATEGORIES