Dah ‘kantoi’ dua kali main Omi, lelaki curang dengan isteri sanggup bersumpah atas nama Allah

Photo of author

By Syima Iza

Setelah berkali-kali dikhianati, seorang wanita akhirnya nekad untuk berpisah dengan suami yang curang.

Kemelut dalam rumah tangganya bermula apabila lelaki itu kantoi bermain aplikasi janji temu sewaktu isterinya sedang hamil anak pertama mereka.

Namun, Nrlia Farazah memilih untuk memaafkan suaminya yang bersungguh-sungguh menunjukkan keinsafan dengan syarat, jika berlaku lagi kecurangan maka akan berlakulah penceraian antara mereka berdua.

Dah 'kantoi' dua kali main Omi, lelaki curang dengan isteri sanggup bersumpah atas nama Allah
Gambar hiasan

“Sebelum ini suami pernah kantoi main Omi, mengatakan dirinya bujang kepada semua perempuan yang dikenalnya melalui aplikasi itu.

“Pada masa itu saya sedang mengandung. Bila saya dapat tahu, dia mula merayu minta maaf dan berjanji jika dia mengulangi kesalahan, maka akan jatuh talak,” ujarnya dalam perkongsian di grup Facebook Tanya Peguam.

Namun, peluang yang diberikan nyata tidak dihargai apabila suaminya sekali lagi ‘ditangkap’ mempunyai hubungan dengan wanita lain selepas isterinya bersalin. Malah, lelaki itu turut terbabit dalam aktiviti judi atau pertaruhan wang menerusi aplikasi Telegram.

Serik dengan sikap pasangannya, wanita ini mengumpul segala bukti kecurangan suaminya.

“Selepas saya melahirkan anak kami, dia berubah tapi itu cuma sekejap saja. Dia mula kembali dengan perangainya yang bermain Omi dan mengaku bujang kepada semua kenalannya di Omi.

“Bila saya tanya, dia cakap itu ‘bukan’ dia padahal itu nombor telefon dia yang didaftarkan di aplikasi itu sejak dia mula-mula curang hingga kantoi buat kali kedua. Saya sudah kumpulkan bukti malah dia bermain judi dalam talian.

“Bila saya tanya, dia nafikan siap bersumpah atas nama Allah bahawa bukan dia. Pada mulanya saya percaya, tetapi lama-kelamaan kantoi bahawa dia main judi dan Omi serta muat turun aplikasi Telegram untuk cari perempuan dan puaskan nafsu dia,” katanya.

Menurut Nrlia, berdepan situasi ini, kesihatan mentalnya semakin teruk dan dia sudah tidak tahan lagi dengan sikap suaminya.

“Dia berjanji tidak akan main Omi lagi dan sekiranya dia main lagi, akan jatuh talak,” kata Nrlia.

Memandangkan suaminya telah memungkiri janji, Nrlia memutuskan untuk membawa kes ini ke muka pengadilan.

“Bukti kecurangan dari mula-mula dia main Omi sehingga kali kedua saya sudah kumpulkan tetapi dia pandai play victim. Dia akan tunjuk kepada orang luar bahawa dia baik. Padahal hakikatnya hanya saya yang tahu perangai dia macam mana.

“Ya memang dia tidak pernah naik tangan tetapi bab-bab macam ini sumpah saya tidak boleh terima. Dia berjanji tidak akan main Omi lagi dan sekiranya dia main lagi, akan jatuh talak. Masalahnya dia ulang kesilapan dan siap muat turun Telegram untuk cari perempuan ketika keluar outstation.

“Saya ada seorang anak perempuan dan paling teruk dia selalu kata saya berlebihan padahal dia sudah berjanji tidak akan ulangi semua, akhirnya dia tetap buat lagi,” jelasnya lagi.

Hantaran tersebut meraih pelbagai pendapat netizen di media sosial yang memberikan cadangan kepada wanita ini susulan masalah rumah tangga yang dikongsikan.

Rata-ratanya mencadangkan supaya dia merujuk masalahnya ke mahkamah untuk mendapatkan nasihat bagi tindakan selanjutnya.

“Buat pengesahan taklik di mahkamah. Tidak lama pun, sekejap saja dah selesai. Kalau suami tidak mahu mengaku, puan sudah ada bukti. Cuma bukti paling penting adalah lafaz taklik yang dia buat.

“Kalau bukti main Omi dan sebagainya itu tidak ada, lafaz taklik jadi payah juga. Kalau dia tidak mengaku lafaz taklik, akan jadi panjang kes naik turun mahkamah,” komen salah seorang netizen.

Sumber

Baca Juga:
Pemandu e-hailing hilang selepas maklum hantar pelanggan ke Teluk Intan
Kisah benar menantu jadi hamba di rumah mertua setiap kali raya
Ibu kejam paksa anak perempuan berjalan ‘kaki ayam’ atas jalan tar panas sebab hilangkan kasut