Dah 6 bulan kahwin, rupanya pernikahan Rizky Febian & Mahalini tidak sah

Photo of author

By Syima Iza

Dah 6 bulan kahwin, rupanya pernikahan Rizky Febian & Mahalini tidak sah. Pelik tetapi benar, itulah realiti yang menimpa pasangan selebriti terkenal Indonesia, Rizky Febian dan Mahalini Raharja, apabila Pengadilan Agama Jakarta Selatan memutuskan bahawa pernikahan mereka sejak enam bulan lalu tidak sah di sisi undang-undang.

Jurucakap Pengadilan Agama Jakarta Selatan, H. Suryana, menjelaskan bahawa salah satu rukun nikah tidak dipenuhi ketika majlis ijab kabul pada 10 Mei 2024, iaitu berkenaan status wali pernikahan.

“Berdasarkan pemeriksaan, majlis hakim mendapati terdapat kekurangan pada salah satu rukun nikah yang menyebabkan pernikahan tersebut tidak sah. Kekurangan itu ialah wali yang menikahkan mereka bukan wali yang berhak,” katanya kepada media.

Dah 6 bulan kahwin, rupanya pernikahan Rizky Febian & Mahalini tidak sah

Menurut Suryana, wali nikah yang menikahkan Rizky dan Mahalini adalah seorang ustaz, tetapi pemilihannya bertentangan dengan peraturan undang-undang.

“Selepas Mahalini memeluk agama Islam dan bernikah, status orang tua pengantin perempuan yang bukan beragama Islam menyebabkan mereka tidak boleh menjadi wali. Dalam kes ini, wali yang menikahkan adalah seorang ustaz yang bertindak sebagai wali hakim, namun ia tidak mengikut ketetapan undang-undang,” katanya lagi.

Suryana turut menjelaskan bahawa berdasarkan Peraturan Menteri Agama Nombor 30 Tahun 2005, wali hakim yang sah mestilah individu yang mendapat persetujuan daripada Menteri Agama dan pelaksanaannya didelegasikan oleh ketua wilayah setempat.

Dalam Undang-Undang Perkahwinan Indonesia, terdapat dua jenis wali dalam pernikahan:

Wali Nasab – Wali yang mempunyai hubungan saudara dengan pengantin perempuan.

Wali Hakim – Digunakan dalam situasi tertentu, seperti ketiadaan wali nasab atau apabila wali nasab tidak dapat dikenal pasti keberadaannya.

Namun, dalam kes Rizky dan Mahalini, majlis hakim mendapati bahawa proses pelantikan wali hakim tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Ini menjadi asas kepada keputusan bahawa pernikahan mereka tidak sah secara hukum,” ujar Suryana.

Beliau turut menekankan bahawa keputusan pengadilan dibuat berdasarkan fakta persidangan dan aturan perundangan yang sedia ada.

Kini, Rizky Febian dan Mahalini perlu menentukan langkah seterusnya, sama ada mengajukan semakan semula atau menjalani proses pernikahan sekali lagi mengikut peraturan yang ditetapkan.

Sebelum ini, pasangan tersebut telah bernikah pada awal pagi Jumaat, 10 Mei 2024, di Hotel Raffles, Jakarta, diikuti majlis resepsi pada sebelah malamnya di lokasi yang sama.

Perjalanan cinta pasangan berbeza agama ini bermula pada 7 Februari 2022 sebelum mereka bertunang pada 7 Mei 2023. Mahalini, yang berasal dari Bali dan beragama Hindu, telah memeluk agama Islam sebelum pernikahan mereka, sebagaimana disahkan oleh Sule, bapa kepada Rizky.

Baca Juga:
Netizen terkejut lihat cara wanita ini masuk rumah ikut lubang pagar jeriji
Pemandu e-hailing tertinggal penumpang tanpa sengaja buat ramai tergelak
Ini 10 asal-usul nama makhluk seram kisah fiksyen barat yang terkenal