Cuti sekolah dah semakin dekat, ini 7 tempat bersejarah di Malaysia yang wajib kunjungi
Rugilah sebagai rakyat Malaysia jika tidak mengenali atau mengetahui tempat bersejarah di Malaysia yang menyimpan pelbagai cerita dan memori mengenai negara ini. Kawasan-kawasan tinggalan sejarah yang penuh dengan kisah menarik dan struktur bangunan unik harus dipertonton kepada rakyat terutama generasi muda.
Tidak cukup hanya menatapnya dalam buku sejarah, memori akan lebih terpahat jika anda bawa mereka melihat dengan mata sendiri ke tempat bersejarah yang ada. Antaranya seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, A Famosa, Masjid Ubudiah, Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muzium Negara, Stesen Keretapi Ipoh dan istana Seri Menanti yang menyimpan pelbagai cerita dan kisah menarik.
Tempat bersejarah di Malaysia, simpan pelbagai memori & cerita menarik
1. Istana Lama Seri Menanti, Negeri Sembilan – Dibina tanpa sebatang paku
Memang kagum dengan kemahiran pertukangan kayu dan senibina bangunan orang dulu-dulu. Bayangkan sebuah Istana Lama Seri Menanti ini begitu besar dan cantik senibinanya ini dibina tanpa menggunakan sebatang paku.
Alternatif kepada paku bagi menghubungkan kayu-kayu dan tiang seri istana ini ialah dengan menggunakan pasak kayu. Istana ini mempunyai empat batang tiang seri utama dan 99 batang tiang kayu. Istana yang dibina pada tahun 1902 dan terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini telah menjadi tempat kediaman rasmi Yang Dipertuan Besar sejak awal 1900 an lagi.
2. Kota A Famosa, Melaka – Binaan Eropah tertua di Asia
Binaan kubu oleh Portugis yang berusia lebih 500 tahun. Kubu ini dibina pada tahun 1511 selepas berjaya menjajah kota Melaka.Di sini juga terdapat perkuburan orang Portugis. Kota A Famosa adalah tempat bersejarah di Malaysia yang paling popular dan merupakan mercu tanda utama bagi Melaka. Tinggalan kota ini menjadikannya sebagai seni bina dari Eropah yang tertua yang masih wujud di Asia.
3. Fort Cornwallis, Pulau Pinang – Kubu berbentuk bintang
Fort Cornwallis diberi nama sempena nama Gabenor Jeneral Bengal dalam akhir kurun ke 1700, Charles Cornwallis. Ia menjadi salah satu mercu tanda bersejarah di Georgetown, Pulau Pinang. Dinding kubu setinggi lebih kurang 10 kaki ini dibina dalam bentuk bintang.
Perjalanan mengelilingi kubu ini mengambil masa 10 minit. Di dalam kubu ini, anda boleh melihat tinggalan struktur lama seperti sebuah gereja kecil, penjara, kawasan penyimpanan senjata, lampu rumah api yang pernah diguna untuk memberi amaran kepada kapal, tiang bendera asal dan beberapa meriam gangsa lama yang mana salah sebuah daripadanya meriam Belanda, dikenali sebagai Seri Rambai, bertarikh 1603.
4. The Stadthuys, Melaka – sejarah pendidikan terawal di Melaka
Bangunan ini dibina pada 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni reka bentuk Belanda yang halus. Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya dalam bidang pendidikan.
Pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Melacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya.
5. Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka
Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan terletak di Bandar Melaka dan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain seperti A Famosa dan replika Istana Kesultanan Melaka. Bangunan ini dibina pada tahun 1911 menjadikannya satu tempat bersejarah di Malaysia perlu dilawati.
Bersempena dengan sambutan kemerdekaan ke-28, pada 31 Ogos 1985, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan telah dibuka dengan rasminya oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan Negara.
6. Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur
Seperti namanya, bangunan ini telah mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor pada masa ia mula dibina 1894. Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di hadapan Dataran Merdeka adalah mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.
Bangunan ini menerapkan konsep seni bina Moghul dan Moor yang mempunyai nilai sejarah sangat bernilai untuk dihayati oleh rakyat Malaysia terutama golongan muda. Selain, diterangi dengan limpahan lampu neon berwarna-warni pada waktu malam, tempat bersejarah ini juga selalu menjadi lokasi masyarakat pelbagai kaum termasuk pelancong asing untuk melihat pertunjukan bunga api sebagai simbolik sambutan Hari Kemerdekaan.
7. Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Di sinilah, di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Federasi Malaya dinaikan buat pertama kali pada tengah malam 31 Ogos 1957. Semenjak itu, Dataran Merdeka menjadi tempat perarakan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia setiap tahun sejak 1957. Pelbagai acara diadakan di sini. Antaranya ialah Citrawarna dan Larian Merdeka.