Seorang pakar Anesthesia (bius) yang berkhidmat di pusat perubatan swasta baru-baru ini mendapat perhatian warga perubatan di Facebook apabila diarahkan Mahkamah Persekutuan membayar RM4 juta berikutan didapati bersalah atas kecuaian.
Perkara itu menyaksikan wujud gerakan solidariti buat Dr Noor Asilah Abdul Rahman yang membuka tabung untuk menyalurkan sumbangkan kepada beliau sebagai tanda sokongan.
Difahamkan, pakar bius itu disaman dan terpaksa membayar hampir RM4 juta hanya kerana cuba menyelamatkan seorang pesakit kecemasan yang datang ke hospital pada jam 4.00 pagi, kerana pendarahan tekak yang sangat teruk akibat pembedahan dari hospital lain sebelum itu, dalam insiden lebih 13 tahun lalu.
Dr Noor Asilah dilaporkan media tempatan pada 23 Februari lalu perlu membayar ganti rugi berkenaan kepada Siow Ching Yee selepas bekas pengarah urusan syarikat terbabit mengalami kerosakan otak yang teruk pada 2010.
Peguam Ching Yee berhujah anak guam mereka, menjalani pembedahan tonsilektomi, pengerasan palatal dan pembedahan sinus endoskopik di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 10 Mac 2010.
Bagaimanapun, 12 hari kemudian ketika berada di rumah, dia mengalami pendarahan di kerongkong dan pergi ke Hospital Columbia Asia cawangan Puchong pada jam 4 pagi untuk mendapatkan rawatan dan pengurusan.
Seorang pegawai perubatan menghubungi Ching Yee dan merujuknya kepada pakar bedah telinga, hidung dan tekak Dr Megat Shiraz Megat Abdul Rahim, yang meminta Dr Noor Asilah untuk membantunya.
Dr Noor Asilah meletakkan Ching Yee di bawah bius am, namun terdapat kelewatan dalam memastikan saluran pernafasannya selama kira-kira 25 minit.
Prosedur menyelamatkan nyawa tidak dilakukan, menyebabkan Ching Yee tidak bernafas untuk tempoh tersebut dan selepas dia akhirnya diintubasi, langkah-langkah resusitasi tidak dilakukan secukupnya menyebabkan Ching Yee mengalami kerosakan otak yang teruk.
Mahkamah Tinggi pada 2022 mendapati Dr Noor Asilah bertanggungjawab dan memerintahkan dia membayar ganti rugi RM1.9 juta, sementara tuntutan terhadap hospital dan Megat Shiraz ditolak.
Ching Yee merayu kepada Mahkamah Rayuan, yang menaikkan kuantum ganti rugi (yang ditetapkan sebelum ini) dikenakan terhadap Dr Noor Asilah kepada RM3.3 juta.
Sementara itu, Mahkamah Persekutuan baru-baru ini dalam keputusan majoriti empat hakim, memutuskan Columbia Asia Sdn Bhd bertanggungjawab bersama-sama pakar bius terbabit untuk membayar RM4 juta sebagai ganti rugi kepada Ching Yee.