Cinta sejati! Wanita jaga suami koma selama 10 tahun akhirnya ‘terbayar’

Photo of author

By Syima Iza

Kesabaran seorang isteri dari wilayah Anhui di China, Sun Hongxia, tidak pernah putus asa dalam menjaga suaminya yang koma sehingga akhirnya ‘terbayar’ apabila lelaki itu sedar selepas 10 tahun.

Menurut laporan NDTV yang dipetik daripada South China Morning Post, Sun Hongxia terus menjaga suaminya yang berada dalam keadaan separuh sedar selepas mengalami serangan jantung pada 2014.

Jasa dan dedikasi Hongxia serta sikapnya yang tidak mementingkan diri telah membuahkan hasil apabila suaminya sedar selepas sepuluh tahun terlantar.

Cinta sejati! Wanita jaga suami koma selama 10 tahun akhirnya 'terbayar'

Hongxia sentiasa yakin bahawa suaminya akan sedar daripada koma, dan usahanya yang penuh kasih sayang tanpa jemu selama bertahun-tahun telah membantu suaminya pulih. Klip video pasangan itu yang tersebar di media sosial di China menunjukkan Hongxia duduk di sebelah suaminya yang sudah sedar di atas katil.

Air mata suami itu mengalir apabila Hongxia menceritakan kehidupan mereka sepanjang dia koma.

“Walaupun sangat penat, saya percaya segalanya akan kembali baik apabila keluarga kami bersatu semula,” kata Hongxia.

Hongxia mengenang kembali saat-saat suaminya mengalami serangan jantung secara tiba-tiba dan terus tidak sedarkan diri.

Wanita tabah itu berkata, dua anak mereka memberinya inspirasi untuk terus kuat dan tidak putus asa.

“Saya mesti menjadi contoh yang baik untuk anak-anak kami. Saya sentiasa memikirkan suami, dan saya menghabiskan masa dan tenaga banyak untuk memastikan suami selesa walaupun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Koma yang berpanjangan membawa masalah fizikal dan suami memerlukan trakeostomi untuk bernafas dan kateter kencing.

“Walaupun tanggungjawab ini sukar, saya tidak pernah goyah,” katanya.

Bapa suaminya yang berusia 84 tahun mengucapkan terima kasih atas pengorbanan Hongxia.

“Dia menantu saya, tetapi dia sudah berbuat lebih baik daripada anak perempuan saya sendiri. Tiada siapa yang mampu menandingi semangatnya,” katanya.

Pengguna media sosial yang terkesan dengan kisah tersebut memberikan komen positif dan menyatakan kagum mereka.

‘Itulah cinta sejati,’ tulis seseorang, manakala yang lain menulis ‘Lelaki koma itu berkahwin dengan malaikat.’

Baca Juga:
Pokok tumbang hempap kepala, pemandu Mercedes meninggal lepas mengucap kalimah syahadah
Kena ada gaji RM9,000 baru boleh kahwin, respon wanita ini buat netizen terkedu
Bilik tidur dalam tandas, sewa bulanan hanya RM196