Chef Wan kekal bayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantu.
Chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan kekal diperintah membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya, Gavin Edward O’Luanaigh, berhubung penerbitan berunsur fitnah terhadap lelaki itu di media sosial.
Keputusan itu dibuat selepas Chef Wan menarik balik permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan hari ini.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membatalkan permohonan tersebut dan memerintahkan selebriti itu membayar kos sebanyak RM5,000.
Dalam prosiding itu, peguam Nur Adilah Nabilah Abdull Jamal mewakili Chef Wan (pemohon), manakala bekas menantunya diwakili oleh Nur Khidmah Huzaisham.
Chef Wan telah memfailkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya berhubung penerbitan berunsur fitnah di media sosial.
Pada 26 Jun lalu, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi, bersama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Wong Kian Kheong, membenarkan rayuan Gavin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan kenyataan Chef Wan tidak memfitnah beliau.
Panel itu pada ketika itu memerintahkan Chef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada bekas menantunya, serta kos RM40,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Mahkamah juga memberikan injunksi kekal yang melarang Chef Wan daripada menerbitkan kenyataan yang memfitnah bekas menantunya. Panel tersebut turut memerintahkan Chef Wan membayar faedah lima peratus setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan hingga tarikh penyelesaian penuh.
Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa Chef Wan telah melanggar janji kepada mahkamah untuk tidak menyiarkan kenyataan fitnah terhadap bekas menantunya.
Gavin, yang merupakan seorang warga British, memeluk Islam pada 20 November 2006 dan menggunakan nama Salahudin Ghafffar. Beliau berkahwin dengan anak Chef Wan, pelakon Serina Redzuawan, pada tahun 2010 sebelum bercerai pada Ogos 2017.
Dia memfailkan saman itu pada Februari 2021, mendakwa bahawa lapan hantaran media sosial oleh bekas bapa mentuanya mengenai beliau dan isterinya kini telah memfitnah mereka.