Chef Wan diarah bayar RM150,000 kerana fitnah bekas menantu

Chef Wan diarah bayar RM150,000 kerana fitnah bekas menantu

Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya Gavin Edward O’Luanaigh berhubung penerbitan berunsur fitnah terhadap O’Luanaigh di platform media sosial.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Lim Chong Fong, dan Datuk Wong Kian Kheong membenarkan rayuan O’Luanaigh untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memutuskan bahawa kenyataan yang didakwa dibuat oleh Chef Wan tidak memfitnah O’Luanaigh.

Dalam menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Azizah memerintahkan Chef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk, dan teladan kepada O’Luanaigh serta kos RM40,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Chef Wan diarah bayar RM150,000 kerana fitnah bekas menantu

Beliau juga memberikan injunksi berkekalan yang melarang Chef Wan daripada menerbitkan kenyataan fitnah terhadap bekas menantunya.

Selain itu, beliau memerintahkan Chef Wan membayar faedah lima peratus setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh.

Semasa menyampaikan alasan penghakiman, Hakim Wong berkata mahkamah mendapati bahawa hantaran dalam laman sosial Instagram dan Facebook oleh Chef Wan telah memfitnah O’Luanaigh.

Beliau juga berkata Chef Wan telah melanggar janji kepada mahkamah untuk tidak menyiarkan kenyataan fitnah terhadap O’Luanaigh.

O’Luanaigh, seorang warganegara British, memeluk Islam pada 20 November 2006 dan menggunakan nama Salahudin Ghaffar. Beliau berkahwin dengan anak Chef Wan, pelakon Serina Redzuawan, pada tahun 2010 sebelum bercerai pada Ogos 2017.

Dia memfailkan saman itu pada Februari 2021 dengan mendakwa bahawa lapan hantaran media sosial oleh bekas bapa mertuanya mengenai dia dan isterinya sekarang adalah fitnah.

Dalam pernyataan pembelaannya, Chef Wan berkata kenyataan yang disiarkan dalam hantaran itu adalah berdasarkan fakta, komen yang adil, dilindungi oleh keistimewaan mutlak dan layak serta dibuat tanpa niat jahat.

Pada 11 Mei 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam sebahagiannya membenarkan tuntutan O’Luanaigh untuk injunksi bagi menghalang bekas bapa mertuanya daripada menerbitkan sebarang dakwaan fitnah dan palsu terhadapnya.

Hakim Rozi Bainon turut memerintahkan Chef Wan menurunkan kelapan-lapan hantaran berkenaan yang menjadi subjek dalam tuntutan saman fitnah tersebut.

Hakim, bagaimanapun, berpendapat bahawa kenyataan yang disangkal itu tidak memfitnah O’Luanaigh dan tidak diterbitkan dengan niat jahat.

O’Luanaigh diwakili peguam Nur Khidmah Huzaisham dan Nur Dalilah Zainol Abidin manakala Datuk M. Reza Hassan mewakili Chef Wan.

Baca Juga:
Wanita dipaksa ‘resign’ dengan cara yang salah, menang saman hampir RM200k terhadap majikan
Tular ‘Parcel’ dibungkus dengan ayat suci al-Quran, syarikat kurier tampil buat laporan polis
Jemaah masjid terkejut bayi ditemui atas sejadah
CATEGORIES