Penyanyi, Syasya, 23 tahun, telah mencuri perhatian dengan imej terbarunya yang bertudung selepas berundur dari kumpulan Dolla, baru-baru ini.
Menerusi klip video pendek di TikTok yang dipercayai dimuat naik oleh ahli keluarganya, Syasya, atau nama sebenarnya Syasya Afigah Shahrizal, kelihatan cukup manis dan turut dipuji oleh netizen.
“Cantiknya Syasya bertudung. Minat dan bakat itu kadang-kadang bukan sekadar anugerah tapi juga ujian.
“Alhamdulillah, semoga istiqamah, sayang. Harap Syasya kekal untuk beristiqamah. Ini penghijrahan yang bagus,” antara komen netizen. Sehingga kini, belum ada penjelasan terperinci mengenai sebab utama Syasya meninggalkan Dolla. Dalam kenyataan Dolla terdahulu, ia atas alasan peribadi.
Keputusannya itu meranapkan impian ramai peminat yang masih berharap dia terus menganggotainya. Ada yang turut menyeru peminat agar menghormati keputusannya.
Pada 8 April lalu, Dolla membuat pengumuman mengejutkan bahawa Syasya sudah berundur. Ini bagi meleraikan persoalan ketiadaan Syasya bersama kumpulan tersebut sebelum ini.
Walaupun ia keputusan yang berat, Dolla yang kini dianggotai oleh Sabronzo, Tabby, dan Angel masih menganggap Syasya sebagai adik dan akan terus memberikan sokongan kepadanya.
Sementara itu, cubaan Harian Metro untuk menghubungi Syasya bagi mendapatkan penjelasan tidak berjaya.