‘Cangkul’ majikan hingga mati, amah Indonesia dan suami dipenjara 35 tahun.
Seorang amah Indonesia bersama suaminya yang membunuh majikan dijaga dalam kejadian tiga tahun lalu, dijatuhkan hukuman 35 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Tertuduh pertama, Bartolomeus Fransceda, yang juga tukang kebun di kediaman warga emas itu, turut diperintahkan disebat 12 kali, manakala isterinya, Ekalia, selaku tertuduh kedua diperintahkan hukuman penjara.
Hakim, Datuk Abu Bakar Katar, dalam penghakimannya, berkata keputusan itu mengambil kira dan menimbangkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
“Mahkamah ini turut mengambil kira kenyataan impak mangsa dan fakta kes yang dibentangkan pendakwaan serta prinsip-prinsip penghukuman, mahkamah ini menjatuhi hukuman.
“Oleh itu, tertuduh pertama dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun mulai tarikh tangkap dan sebatan rotan 12 kali, manakala tertuduh kedua dihukum penjara 35 tahun mulai tarikh tangkap dan tiada sebatan rotan,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh dilihat tenang dan hanya memandang ke lantai apabila hakim membacakan keputusannya itu.
Bagaimanapun, keluarga mangsa yang hadir dilihat bergegas meninggalkan mahkamah selepas keputusan dibacakan hakim.
Pada 29 November lalu, Ekalia dan Bartolomeus Fransceda, yang kedua-duanya 23 tahun, menukar pengakuan mereka kepada bersalah, atas tuduhan membunuh majikan dijaga mereka, tiga tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh dituduh secara bersama-sama membunuh Lau Yen Na, 73, di sebuah rumah di Palm Resort, Senai, Kulai, kira-kira jam 2 petang, 17 Mac 2020.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan 12 sebatan.
Pada prosiding minggu lalu, rakaman CCTV kejadian mengerikan itu turut disiarkan pada menyebabkan ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak.
Mengikut fakta kes, berdasarkan siasatan dan analisis kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, tertuduh pertama iaitu Bartolomeus, dan kedua, Ekalia, membunuh si mati dengan menggunakan cangkul kecil mempunyai dua mata tajam.
Tertuduh pertama dan kedua telah memukul si mati dengan cangkul kecil itu pada kepala ketika si mati sedang berehat, sebelum mereka mengambil Toyota Alphard serta telefon bimbit mangsa untuk ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan bagi mencari kerja baharu.
Kedua-dua tertuduh ditahan di sebuah restoran di Damansara sebelum hasil analisis patologi mendedahkan punca kematian mangsa adalah kerana luka tetak berganda di kepala.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala dua tertuduh diwakili peguam, Ooi Pen Lyn dan S Selvi.
Baca lagi:
Penduduk gempar temui bungkusan berisi payudara dalam paya, siap tertera nama dan barkod
Rombakan kabinet esok! Ada kejutan…
Lebih RM138,000 tiba-tiba masuk akaun, lelaki jujur ini pulangkan semula wang kepada bank