Calon PN Dun Nenggiri lafaz ‘sumpah laknat’ tak akan tukar parti jika menang

Photo of author

By Syima Iza

Calon PN Dun Nenggiri lafaz ‘sumpah laknat’ tak akan tukar parti jika menang.

Calon PN bagi PRK DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail melafazkan “sumpah laknat” sebagai pengikat janji bahawa dia tidak akan berubah haluan ataupun menukar sokongan jika dipilih sebagai Adun Nenggiri.

Mohd Rizwadi yang juga calon daripada Bersatu turut berikrar untuk patuh kepada perlembagaan serta dasar-dasar perjuangan parti itu selagi mana tidak bercanggah dengan Islam.

Calon PN Dun Nenggiri lafaz 'sumpah laknat' tak akan tukar parti jika menang

“Sekiranya saya meninggalkan Bersatu, terhenti menjadi ahli, bertukar ke parti lain, menyokong parti lain atau kepimpinan parti lain, dengan kerelaan saya sendiri, selepas dipilih menjadi calon dan terpilih menjadi Adun maka saya akan dilaknat oleh Allah dan Rasul.

“Segala perbelanjaan saya serta keluarga saya dengan menggunakan wang gaji dan elaun Adun terbabit adalah haram dan Allah bersaksi atas apa yang saya lafazkan ini,” katanya selepas diumumkan sebagai calon PN bagi PRK DUN Nenggiri di Masjid Hijau Renok, Gua Musang. Sumpah laknat itu dibuat dipercayai susulan tindakan beberapa wakil rakyat Bersatu yang sebelum ini mengubah sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selepas menang pilihan raya.

Kekosongan kerusi DUN Nenggiri berlaku disebabkan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim terhenti keahlian Bersatu secara automatik selepas menyokong kepimpinan Anwar.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud mengumumkan Mohd Rizwadi yang juga bekas timbalan Pemuda PAS Gua Musang sebagai calon PN pada PRK Nenggiri.

Mohd Nassuruddin yang juga Pesuruhjaya PAS memaklumkan PN akan bertanding menggunakan logo PAS.

Pada 13 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Abdullah mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka di DUN Nenggiri selepas keahlian Mohd Azizi tergugur secara automatik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Mohd Azizi menang kerusi DUN Nenggiri dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Baca Juga:
Laudya Cynthia Bella akhiri zaman janda? Didakwa jadi isteri ketiga ustaz terkenal Indonesia
Wanita terkejut gaji ‘content creator’ boleh kalahkan gaji CEO, buat 3 video sahaja cecah RM80,000
Wanita lukis anak patung seperti bayi sebenar raih perhatian dunia, dijual RM28,000 setiap satu