Calon BN lawan Sanusi terkejut nama dipermainkan yang ditukar menjadi ‘Khinzir’
“Kalau nak bertanding, biarlah cara ‘gentleman’,” kata calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.
Beliau yang berdepan tugas berat merampas kerusi disandang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu meluahkan demikian dalam video ceramahnya yang tular sejak semalam.
Dalam ceramahnya, Muhamad Khizri antara lain mendakwa ada pihak tertentu memberi gelaran tidak elok, mempermainkan namanya yang ditukar menjadi ‘khinzir’ selepas beliau diumumkan menentang Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.
“Saya ditunjukkan video berkenaan semalam, terkejut juga kenapa sampai jadi begitu. Sebagai orang Islam, elakkan memberi gelaran yang buruk-buruk, bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada sesiapa saja.
“Saya tak mahu cari gaduh dengan sesiapa, tapi kalau nak beri gelaran yang tak elok, janganlah. Nanti pengundi boleh menilai,” katanya lagi.
Muhamad Khizir menambah, beliau tidak mahu menuding jari kepada sesiapa, namun kesal kerana elemen politik kotor dimainkan sebagai bahan kempen.
Bila pemimpin mulut jahat disucikan, segala bahasa yang jahat pon jadi suci.
Kawan tu elok nama Khizri, puak walaun ubah dan panggil dia khinzir. pic.twitter.com/xSopkgpsQO
— Saifullah Al-BotaKiri ⚪🟡⚫ (@SaifulAdn) July 30, 2023
Sementara itu, beliau memaklumkan, kempen hari pertama di DUN berkenaan semalam berjalan lancar dan beliau mendapat maklum balas positif daripada pengundi dan berharap tidak ada lagi elemen gelaran buruk diberikan mana-mana pihak selepas ini.
“Mari bertanding secara sihat. Saya ada keluarga, mak ayah yang berikan nama elok-elok. Kempen pilihan raya juga, kalau cakap yang baik-baik sebenarnya satu ibadah. Baik kita buat pahala daripada tambah dosa,” katanya.