Burung unta makan batu kerikil, ada sebab rupanya…
Umum sudah mengetahui bahawa burung unta merupakan spesies burung paling berat di dunia dan tidak mempunyai kebolehan untuk terbang.
Walaupun begitu, burung unta mempunyai kelebihan lain iaitu mampu berlari dengan sangat pantas, dengan kelajuan yang boleh mencecah sehingga 70 km/j.
Namun begitu, ada fakta menarik tentang burung unta yang mungkin ramai tidak pernah tahu atau dengar.
Misalnya menerusi satu video tular di media sosial yang menunjukkan burung unta yang dibela telah diberi makan batu.
Aneh, kan? Bukankah batu adalah objek pejal yang sangat keras dan tidak sesuai dimakan? Jadi, kenapa pula haiwan itu diberi makan batu?
Siapa sangka batu-batu kecil yang nampak biasa ini sebenarnya memegang rahsia penting dalam kehidupan haiwan tersebut.
Justeru, kali ini, kami ingin berkongsi dengan pembaca semua fungsi dan manfaat batu-batu kerikil kepada burung unta.
Batu kerikil dapat mengisar makanan yang telah ditelan
Menurut portal Rock & Gem, proses atau tindakan haiwan makan batu ini dikenali sebagai Gastroliths. Ia bukan unik kepada burung unta semata-mata, sebaliknya turut ditemui dalam spesies haiwan yang lain.
Jadi, kenapa haiwan-haiwan ini termasuk burung unta makan batu?
Tumbuh-tumbuhan yang dimakan haiwan sebenarnya terdiri daripada selulosa. Ia merupakan bahan yang paling banyak ditemui dalam tumbuhan dan sukar untuk dicerna.
Apatah lagi, burung unta seperti burung-burung lain tidak mempunyai gigi untuk mengunyah tumbuhan yang dimakan menjadi halus sebelum ditelan.
@pitvinicios68 #PUBGM350TT ♬ som original – Marcos Vinicios da Silva
Asid perut seperti yang terdapat dalam burung unta juga tidak dapat memecahkan selulosa dengan sempurna.
Jadi, batu-batu yang dimakan ini dapat membantu memecahkan selulosa di dalam hempedal, sebelum makanan dibawa ke organ perut untuk pencernaan.
Biasanya, makanan suplemen untuk ternakan burung mengandungi grit, iaitu batu-batu kecil yang memiliki permukaan tidak rata dan bentuk yang tidak tetap.
Grit ini berfungsi untuk membantu memudahkan pencernaan makanan yang dimakan.
Membantu menghadam makanan dengan sempurna
Rock & Gem berkata, kajian mendapati antara satu perlima hingga separuh daripada kandungan perut burung unta adalah gastrolith.
Ia turut menyumbang kira-kira satu peratus daripada jumlah jisim di dalam badan haiwan tersebut.
Namun begitu, terdapat beberapa spesies mamalia yang memang telah didokumentasikan sebagai pemakan batu.