Bunuh bayi baru lahir, pelajar Malaysia di UK dihukum penjara seumur hidup

Photo of author

By Syima Iza

Bunuh bayi baru lahir, pelajar Malaysia di UK dihukum penjara seumur hidup.

Seorang pelajar Malaysia, Jia Xin Teo, 22 tahun, di Coventry, United Kingdom (UK), telah disabitkan kesalahan membunuh bayi perempuannya sendiri.

Menurut maklumat daripada Crown Prosecution Service (CPS) yang dilaporkan oleh BBC, Teo, yang sedang belajar di Coventry University, didapati menyembunyikan kehamilannya dan menyimpan bayi tersebut dalam sebuah kotak bijirin selepas melahirkan, sebelum memasukkannya ke dalam beg pakaian.

Bunuh bayi baru lahir, pelajar Malaysia di UK dihukum penjara seumur hidup

Teo tiba di UK awal tahun ini dan didakwa melahirkan bayi itu pada 4 Mac di bilik sewanya di Raglan Street, Coventry.

Sebaik sahaja bayi tersebut dilahirkan, Teo meletakkannya ke dalam kotak bijirin yang kemudian dibungkus dalam plastik sebelum dimasukkan ke dalam beg pakaian.

CPS menegaskan bahawa bayi tersebut dilahirkan hidup dan mempunyai peluang untuk hidup, tetapi tindakan Teo meletakkannya di dalam kotak bijirin menyebabkan kematiannya.
Sepanjang perbicaraan di Mahkamah Warwick Crown, Teo mendakwa dia mendengar suara-suara yang menyuruhnya membunuh atau mencederakan bayi tersebut. Namun, mahkamah menolak pembelaannya.

Lebih mengejutkan, Teo tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian ini sehingga dua hari kemudian, apabila dia tiba di hospital menunjukkan tanda-tanda telah melahirkan bayi.

Apabila ditanya oleh kakitangan hospital, Teo pada mulanya menafikan telah melahirkan bayi. Selepas didesak, dia akhirnya mengaku dan menyatakan rasa takut jika keluarganya di Malaysia mengetahui perkara tersebut dan bimbang ia akan menjejaskan pelajarannya.

Teo juga enggan mendapatkan bantuan perubatan sebelum bersalin, malah menyorok keadaan ini daripada rakan serumahnya.

James Leslie Francis dari CPS menjelaskan bahawa Teo tiba di UK dengan mengetahui dirinya sedang hamil, namun dia memilih untuk menyembunyikan kehamilannya dan melahirkan bayi itu sendirian. Beliau turut mendakwa bahawa Teo berpeluang untuk mendapatkan bantuan, tetapi sebaliknya, dia membuat keputusan untuk meletakkan bayi tersebut dalam kotak bijirin yang akhirnya membawa kepada kematian.

Polis West Midlands yang terlibat dalam penyiasatan kes ini juga mengesahkan bahawa Teo tidak memberikan lokasi bayi tersebut sehingga dua hari selepas kejadian.

Mahkamah menolak alasan halusinasi yang diberikan oleh Teo dan sebaliknya menekankan bahawa tindakannya adalah disengajakan.

Baca Lagi:
Ahli Matematik karang buku setebal 674 muka surat untuk jawab soalan kenapa 1+1=2
Canggih! Lelaki hanya guna tapak tangan bayar di kedai runcit
Warga emas buang najis setiap hari selama 2 tahun dari tingkat apartmen di Kepong