Bumi dijangka punyai ‘bulan kedua’ selama dua bulan.
Bumi dijangka mempunyai ‘bulan kedua’ buat sementara waktu apabila sebuah asteroid kecil mula mengorbit planet ini pada akhir September, lapor United Press International (UPI).
Asteroid tersebut dikenali sebagai 2024 PT5 dan berasal dari jaluran asteroid Arjuna, menurut penyelidik di Asteroid Terrestrial-impact Last Alert System (ATLAS) yang dibiayai oleh NASA, iaitu sistem pemantauan asteroid di Afrika Selatan.
Penyelidik menyatakan bahawa tarikan graviti Bumi akan menarik ‘bulan mini’ itu ke arah planet ini, dan ia akan mengorbit Bumi selama hampir dua bulan, bermula 29 September hingga 25 November.
Terdapat beberapa objek yang pernah memasuki orbit Bumi sebelum ini, namun kebiasaannya tidak melengkapkan putaran penuh dan tidak berfungsi seperti Bulan sebenar.
Para saintis meramalkan bahawa asteroid ini akan kembali pada tahun 2055.
Walaupun fenomena ini mendapat perhatian yang meluas, asteroid 2024 PT5 tidak akan dapat dilihat dengan mata kasar atau menggunakan teleskop biasa di halaman rumah.
Penyelidik utama dan Profesor dari Universidad Complutense de Madrid, Carlos de la Fuente Marcos berkata, 2024 PT5 akan mencapai jarak kira-kira 2.8 juta batu dari Bumi dan bergerak pada kelajuan sekitar 2,200 batu sejam, membolehkan ia dipengaruhi oleh tarikan graviti Bumi untuk sementara waktu.
“Dalam keadaan ini, tenaga geosentrik objek mungkin menjadi negatif, dan objek tersebut boleh menjadi Bulan sementara Bumi. Asteroid ini akan melalui proses tersebut bermula minggu depan dan berterusan selama kira-kira dua bulan.
Ia tidak akan mengikuti orbit penuh mengelilingi Bumi,” kata Marcos yang telah memantau aktiviti asteroid itu selama beberapa minggu.