“Bukan cakap kosong, sudah ada perbincangan dalaman” – Ahli Majlis Tertinggi Bersatu dakwa lebih 10 MP kerajaan bakal sokong PN

Photo of author

By Syima Iza

“Bukan cakap kosong, sudah ada perbincangan dalaman” – Ahli Majlis Tertinggi Bersatu dakwa lebih 10 MP kerajaan bakal sokong PN.

Spekulasi lebih 10 ahli Parlimen blok kerajaan bakal beralih sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu sebenarnya adalah lebih kuat dan realistik berbanding ura-ura tambahan ahli Parlimen PN bakal berpaling tadah daripada blok pembangkang itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, spekulasi itu bukan sekadar cakap kosong susulan beliau dimaklumkan terdapat perbincangan secara dalaman dalam kalangan pucuk pimpinan tertinggi berkenaan perkara itu.

"Bukan cakap kosong, sudah ada perbincangan dalaman" - Ahli Majlis Tertinggi Bersatu dakwa lebih 10 MP kerajaan bakal sokong PN

Menurutnya, lebih 10 ahli Parlimen daripada parti-parti Kerajaan Perpaduan termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipercayai merupakan kelompok pertama bakal menyatakan sokongan terhadap blok pembangkang seterusnya diikuti oleh kelompok ahli-ahli Parlimen kerajaan lain.

Bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kesemua ahli-ahli Parlimen blok kerajaan yang didakwa bakal berpaling tadah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau hendak andaikan akan ada lagi ahli Parlimen Bersatu akan berpaling tadah, saya fikir spekulasi ahli-ahli Parlimen blok kerajaan termasuk BN (Barisan Nasional) dan PKR bakal menyokong PN menubuhkan kerajaan baharu lebih kuat… realistik.
“Saya dapat maklumat ada ura-ura lebih 10 ahli Parlimen yang hendak berpindah blok. Mereka ini mengkaji asas permasalahan kerajaan sekarang dan menyedari Kerajaan Perpaduan ini ditunggang DAP.
“Pohon tidak akan bergoyang jika tiada angin. Masakan Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki) mendedahkan ada perjanjian bon kesetiaan RM100 juta dimeterai antara parti dan ahli-ahli Parlimen BN untuk kekal setia sekiranya spekulasi wakil rakyat mereka bakal berpaling tadah adalah tidak benar,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus terdapat lebih ramai ahli Parlimen Bersatu dan PN yang dikhabarkan akan mengisytiharkan peralihan sokongan terhadap Anwar dan Kerajaan Madani dalam masa terdekat.

Sumber dalaman PN memaklumkan sekurang-kurangnya terdapat lapan ahli Parlimen Bersatu dari Perak dan Kedah yang dijangka mengikut jejak langkah lima ahli Parlimen parti berkenaan untuk berpaling tadah daripada koalisi pembangkang itu.

Pada 28 November lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal secara terbuka di Dewan Rakyat mengisytiharkan menyokong Anwar dan kerajaan.

Empat lagi wakil rakyat pembangkang daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Pak Wan turut tidak menolak kemungkinan terdapat salah satu daripada 17 parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan bakal mengalihkan sokongan terhadap PN secara en bloc.

Justeru, beliau menolak pandangan akan ada lagi ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PN yang bakal berpaling tadah meninggalkan blok pembangkang.

“Saya tidak nampak isu ahli Parlimen alih sokongan menguntungkan sesiapa. Sekali pun Kerajaan Perpaduan didakwa menerima sokongan 154 ahli Parlimen, sokongan itu masih sangat rapuh.
“Terpulang pada ahli-ahli Parlimen PN untuk alih sokongan, adakah ia menjamin kestabilan kerajaan sedia ada? Saya nasihatkan kepada mereka jangan buat keputusan yang menyebabkan mereka menyesal apabila PN pula membentuk kerajaan baharu kelak,” katanya.

SUMBER

Baca Lagi:
“Muntah darah hitam” – 4 tahun menderita akibat di santau rakan sendiri
Kejam! Rendam 15 ekor anak kucing sampai mati, Persatuan Haiwan Malaysia tawar ganjaran RM5,000 kesan pelaku
5 beradik ini digelar makhluk asing