Seorang kanak-kanak perempuan mengalami muntah darah selepas memakan sebungkus coklat yang telah tamat tempoh yang dibeli oleh saudaranya di sebuah kedai runcit di Patila, India. Keadaan kesihatan kanak-kanak berusia setahun itu dikatakan semakin kritikal selepas dia dimasukkan ke sebuah hospital tempatan di Punjab baru-baru ini.
Semasa kejadian tersebut, kanak-kanak itu pergi ke Patiala bersama ibu bapanya untuk mengunjungi rumah saudara-mara mereka di sana. Semasa berada di sana, salah seorang saudaranya membeli sebungkus coklat dari sebuah kedai runcit dan memberikannya sebagai hadiah kepadanya.
Bagaimanapun, selepas memakan coklat tersebut, dia tiba-tiba muntah darah dan terus dibawa ke Kolej Perubatan Kristian untuk menerima rawatan lanjut. Hasil ujian awal mendapati dia memakan coklat yang tercemar atau telah tamat tempoh, yang menyebabkan keracunan makanan atau muntah darah.
Susulan kejadian itu, anggota dari jabatan kesihatan negeri pergi menyerbu sebuah kedai runcit terbabit dan merampas makanan ringan lain yang didapati telah tamat tempoh. Hasil siasatan terhadap pemilik kedai mendapati dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai produk makanan yang telah tamat tempoh.