Bijak menguruskan perbelanjaan sejak usia muda, seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun telah berjaya menjadi pelabur hartanah termuda di Australia, menurut laporan Daily Mail.
Ruby McLellan dan dua adik-beradiknya, Angus, 14 tahun, serta Lucy, 13 tahun, dilaporkan telah membeli rumah pertama mereka pada harga AUD671,000 (RM 2.08 juta), dua tahun yang lalu.
Rumah empat bilik terletak di Clyde, Victoria, dilaporkan telah meningkat nilai hartanahnya dan pada hari ini nilainya adalah AUD960,000 (RM 2.98 juta).
Menurut Daily Mail, adik-beradik ini membayar deposit rumah tersebut menggunakan simpanan sendiri sebanyak AUD6,000 (RM 18,660) yang dikumpul setiap kali membantu ibu bapa mereka.
Namun, kos tambahan yang diperlukan untuk membeli rumah tersebut dilaporkan ditanggung oleh ibu bapa Ruby.
Sementara itu, Ruby mempunyai keberuntungan kerana ayahnya, Cam McLellan, 50 tahun, adalah seorang Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat pelaburan hartanah terkenal di Australia.
Sejak kecil, dia dan adik-beradiknya telah didedahkan dengan pelbagai ilmu pelaburan yang membantu mereka membuat keputusan yang tepat.
Pada masa ini, Ruby dan adik-beradiknya merancang untuk membeli hartanah lagi menggunakan keuntungan dari pelaburan semasa sebagai pelaburan masa depan.
Semua hartanah yang dibeli diletakkan di bawah nama Ruby dan adik-beradiknya.
Mereka diajar tentang asas pelaburan sejak kecil oleh bapa mereka.
Cam menyatakan bahawa dia melibatkan anak-anaknya dalam dunia pelaburan untuk memastikan mereka memulakan sejak awal.
“Dalam masa sepuluh tahun akan datang, apabila anak-anak kita sudah bersedia untuk membeli rumah sendiri, mereka mungkin memerlukan deposit sebanyak AUD200,000.
“Tanpa bantuan daripada ibu bapa mereka, mereka mungkin sukar untuk menyediakan deposit yang sebanyak itu.
“Kami mempunyai empat orang anak, jadi anggaran deposit yang perlu kami sediakan ketika itu adalah AUD800,000. Jadi, apa yang perlu kita lakukan adalah membeli hartanah sekarang ketika deposit masih rendah.
“Kemudian, biarlah nilai hartanah itu meningkat dan kemudian dijual semula,” kata Cam.Tambahnya lagi, mereka merancang untuk menyimpan hartanah tersebut sehingga Ruby mencapai usia awal 20-an, sambil menunggu pertumbuhan hartanah itu mencapai kitaran penuh dan mencapai nilai AUD1 juta.
Selepas itu, mereka akan menjual rumah tersebut dan keuntungan akan dibahagikan secara sama rata antara Ruby dan adik-beradiknya.
“Berdasarkan pengalaman, nilai hartanah akan meningkat ganda setiap tujuh hingga 10 tahun. Saya sudah melabur selama 30 tahun dan hari ini adalah masa yang sesuai untuk melabur berdasarkan penurunan inflasi dan ramalan penurunan kadar faedah,” katanya.