Budak perempuan 5 tahun maut jatuh dari tingkat 12 kondominium ketika ibu ambil kakak di sekolah

Photo of author

By Syima Iza

Seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun telah meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di bandar raya ini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, aduan mengenai kejadian itu diterima pada jam 6.30 petang.

Menurutnya, kanak-kanak itu dipercayai ditinggalkan bersendirian oleh ibunya yang turut membawa anak bongsu berusia empat bulan untuk mengambil anak perempuan sulung berusia 11 tahun dari sekolah.

Budak perempuan 5 tahun maut jatuh dari tingkat 12 kondominium ketika ibu ambil kakak di sekolah

Katanya, sejurus pulang dari mengambil anak di sekolah, suri rumah berusia 32 tahun itu mendapati anaknya yang berusia lima tahun tiada di rumah.

“Kanak-kanak itu telah dijumpai di aras enam kondominium tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa dipercayai telah membuka pintu koridor rumah yang tidak berkunci dan memanjat dinding koridor hingga terjatuh ke bawah.

“Pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan kanak-kanak malang tersebut telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Raub berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana cuai dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Tambahnya, wanita terbabit telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Baca Juga:
Kerajaan tanggung yuran pengajian anak Allahyarham Mohd Sharizan
Mana lagi jimat?, Lelaki ini kongsi perbezaan aircond ‘inverter & non-inverter’ yang ramai tak tahu
Sarah Yasmine dedah ‘dalang’ sebenar bersubahat jatuhkan Bella Astillah