Budak mengaku berasal dari planet Marikh, dakwa penghuni Marikh menetap bawah tanah bernafas guna gas karbonat.
Hampir dua dekad yang lalu, pernah heboh kisah seorang budak lelaki dari Volgograd, Rusia yang mendakwa berasal dari planet Marikh dan dilahirkan semula ke bumi untuk menyelamatkan planet ini daripada kemusnahan nuklear.
Budak itu, Boriska Kipriyanovich dilahirkan pada 11 Januari 1996. Ibunya, Nadezhda Kipriyanovich memberitahu, sejak awal kelahiran anaknya itu, dia sudah berasa banyak keanehan. Dia langsung tidak merasa sakit ketika melahirkannya. Malah, sejurus selepas dilahirkan, bayinya itu melihatnya dengan pandangan seperti orang dewasa sedangkan mata bayi yang baru lahir diketahui masih belum mampu fokus pada sesuatu objek.
Dakwa ibunya, ketika berusia empat bulan, Boriska sudah mempu menuturkan perkataan mudah. Ketika berusia lapan bulan dia sudah mampu bertutur ayat-ayat pendek. Ketika berusia setahun, dia sudah mampu membaca perkataan mudah seperti tajuk pada suratkhabar. Berusia dua tahun, Boriska sudah mahir bertutur malah mampu bercakap tentang angkasa lepas ketika usianya mencecah tiga tahun.
Di usia tiga tahun, Boriska sudah bercerita kepada ibu bapanya tentang alam semesta. Dia mampu menamakan semua planet dalam sistem suria termasuk satelit-satelitnya sedangkan tidak pernah dipertontonkan kepadanya tentang astronomi sebelum itu. Dan bila diperiksa, apa yang disebutnya itu semuanya benar. Lebih menghairankan, anak sekecil itu mampu menyebut terma-terma asing dan saintifik yang hanya digunakan oleh orang dewasa yang pakar sahaja.
Sejak kecil Boriska sudah mendakwa dia berasal dari planet Marikh. Dia juga dikatakan mempunyai kelebihan psikik dan sangat berminat dengan apa saja objek berkaitan angkasa, malah sangat suka bercakap tentang perkara berkaitan astronomi. Malah, Boriska boleh memberitahu dengan terperici segalanya tentang planet Marikh.
Boriska juga sentiasa menceritakan tentang kehidupannya di masa lalu di planet tersebut, bahkan turut menceritakan tentang ketamadunan penduduk di Marikh yang sangat maju malah mampu mengembara merentasi galaksi.
Menurut Boriska, orang Mars (gelaran penghuni di planet Marikh) tinggal di bawah tanah kerana di bahagian luar planet itu telah dicemari radiasi yang disebabkan oleh perang nuklear. Katanya lagi, dia bukan satu-satunya orang Marikh yang dilahirkan semula ke Bumi. Ada lagi yang sepertinya. Mereka dihantar ke bumi dengan cara dilahirkan semula dengan misi untuk menyelamatkan manusia.
Misteri Boriska dan Marikh
Boriska turut menceritakan bagaimana dia boleh datang ke bumi juga gambaran terperinci Marikh. Menurutnya, dia datang ke bumi dengan sebuah pesawat yang berpangkalan di Marikh. Apabila disoal bagaimana rupa bentuk pesawat berkenaan, Boris melakarkan objek berbentuk bulatan atas sebuah papan tulis.
Katanya, badan pesawat itu direka dengan enam lapisan. Sebanyak 25 peratus daripada lapisan luarnya dibina menggunakan logam. Lapisan kedua pula dibuat daripada 30 peratus getah. Manakala lapisan ketiga dibentuk menggunakan 30 peratus metal. Lapisan seterusnya pula diperbuat daripada bahan-bahan magnet. Tenaga magnet inilah yang membolehkan pesawat berkenaan mampu terbang ke mana saja dalam alam semesta ini.
Persoalannya, apakah dakwaan budak lelaki ini sudah cukup menjelaskan bahawa sememangnya terdapat makhluk yang menghuni planet Marikh sejak sekian lama? Boriska menjawab, ya!
Katanya, orang-orang Marikh masih tinggal di sana. Mereka menetap di bawah tanah dan bernafas menggunakan gas karbonat. Bentuk fizikal mereka sangat tinggi, setinggi tujuh meter.
Sekelip mata, cerita Boriska itu telah tersebar luas dan menjadi bualan masyarakat dunia. Ramai yang ingin tahu apakah pengakuan itu memang suatu realiti yang berlaku di luar pengetahuan penghuni bumi? Atau mungkin juga ianya sekadar imaginasi dan fantasi seorang kanak-kanak?
Kisah Boriska yang mendakwa datang dari planet yang terletak sekurang-kurangnya 55 juta kilometer dari bumi mula berlegar di Rusia pada tahun 2004 apabila media Truth Report Russia mewawancara budak ini dan melaporkannya. Mereka mengatakan ada sesuatu yang luar biasa dalam diri budak aneh ini yang sukar untuk diterjemahkan.
Kisahnya semakin tersebar apabila sebuah badan mengkaji misteri, Camelot Project dari Amerika Syarikat menemubualnya pada tahun 2007 dan videonya dimuat naik di laman Youtube pada awal tahun 2008.
Semasa ditemu bual oleh Camelot Project, Boriska berusia hampir 12 tahun dan ketika itu sedang belajar di sebuah sekolah berdekatan Moscow yang dikhaskan untuk kanak-kanak genius.
Apa yang pasti, kanak-kanak ini memiliki daya intelektual yang tinggi berbanding kanak-kanak lain. Dia juga mampu menceritakan dengan tepat sejarah bumi dan planet-planet di angkasa raya terutamanya di planet Marikh. Kebolehan ini menyebabkan ramai yang terpegun dengannya.
Semasa berusia tujuh tahun, Boriska pernah menyertai satu ekspedisi di zon anomali, Medvedetskaya Gryada berdekatan Volgograd. Di hadapan para peserta ekspedisi yang kebanyakannya orang dewasa dan berpengetahuan tinggi, Boriska tampil mengejutkan yang lain apabila dia berbicara tentang tamadun Marikh, bandar-bandar megalitik, kapal angkasa, penerbangan ke planet-planet lain dan tamadun purba Lemuria di bumi seperti dia benar-benar pernah berdepan dengan semua keadaan itu.
“Profesor di universiti pun belum tentu mampu bercerita tentang sejarah Lemuria dengan begitu terperinci. Pengetahuannya tentang terminologi yang spesifik serta terperinci berkenaan Marikh dan bumi amat mengagumkan,” kata Gennady Belimov, seorang professor dan saintis yang mula-mula melaporkan tentang kehebatan Boriska.
Teori Kanak-Kanak Indigo
Kisah Boriska turut menarik perhatian para saintis Rusia tahun 2004. Bagi memecahkan misteri tersebut, saintis dari Institut Magnet Bumi dan Gelombang Radio, Akademi Sains Rusia, Profesor Vladislav Lugovenko melakukan kajian dan mendapati tahap kecerdikan Boriska sangat tinggi.
Dia kemudiannya mengaitkan fenomena itu dengan teori kanak-kanak Indigo. Katanya, otak manusia mempunyai dua jenis memori. Satu dikenali sebagai memori bekerja dan kedua dikenali sebagai memori kawalan.
Salah satu kemampuan otak yang paling menakjubkan ialah ia boleh menyimpan maklumat tentang pengalaman, emosi dan fikiran. Bagaimanapun ada beberapa individu unik yang mampu mencerap semua maklumat berkenaan tanpa tertinggal satu pun. Mereka inilah yang dipanggil kanak-kanak Indigo, iaitu yang mempunyai keupayaan mental yang luar biasa.
Profesor Vladislav Lugovenko menyatakan Boriska adalah salah seorang daripada kanak-kanak Indigo yang dikaitkan mempunyai misi tertentu untuk mengubah penduduk bumi.
Kisah Borischa juga turut mendapat perhatian ramai saintis, para pengkaji UFO, astronomi dan sejarawan. Kesemua mereka sepakat menyatakan bahawa tidak mungkin kanak-kanak seusia itu boleh berbohong dan mereka-reka cerita. Tambahan pula, Boriska menggunakan istilah saintifik sewaktu bercerita.
Namun, tahun 2008 boleh dikatakan kali terakhir Boriska muncul. Selepas itu, dia dan ibunya ‘menghilang’ tidak dapat lagi dihubungi dan tidak diketahui ke mana mereka pergi. Sumber memberitahu, keluarga ini dibawa menetap di sebuah kawasan terpencil di bawah perlindungan kerajaan Rusia dan orang luar tidak dibenarkan untuk berhubungan dengan mereka.