Budak lelaki umur 13 tahun tikam uncle grab di Sungai Petani.
Seorang pemandu e-hailing warga emas berdepan saat cemas diacu sebilah pisau oleh seorang remaja lelaki dalam kejadian di Taman Keladi, di sini pada Isnin.
Pemandu berusia 65 tahun itu bagaimanapun terselamat setelah cubaannya menggigit tangan remaja berusia 13 tahun tersebut menyebabkan suspek bertindak melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian lebih kurang jam 5.43 petang itu dipercayai bermula setelah pemandu berkenaan menerima pesanan mengambil penumpang di Taman Keladi untuk dihantar ke Bandar Sri Astana.
Menurutnya, semasa dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, penumpang tersebut meminta untuk meminjam wang sebanyak RM50 bagi membayar sewa rumah.
“Dia beritahu sekiranya tidak mempunyai wang, penumpang terpaksa menurunkannya di lokasi tersebut namun penumpang enggan dan minta pemandu bawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar perkhidmatan Grab.
“Namun, apabila sampai di Bandar Sri Astana, dia telah minta untuk membawanya semula ke Taman Keladi menyebabkan warga emas itu terlebih dahulu meminta bayaran sebanyak RM18 dan terus perjalanan sebelum remaja itu melengah-lengahkan sehingga meminta melalui ke beberapa lorong kecil,” katanya.
Disebabkan laluan tambahan, remaja itu kemudian diminta menambah bayaran sebanyak RM9 ketika sampai ke destinasi.
“Penumpang tersebut telah berikan wang RM20 namun semasa pemandu mahu memulangkan baki wang, dia telah mengacukan sebilah pisau ke dada kiri warga emas tersebut dan mahu merampas wang dari poket.
“Tindakan pantas warga emas tersebut berjaya merampas pisau serta gigit tangan remaja itu untuk mempertahankan diri menyebabkan saspek kemudian melarikan diri,” katanya.
Jelasnya, dalam kejadian itu, pemandu warga emas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.