Budak lelaki 6 tahun dibunuh ibu tiri kerana cemburu, mayat disumbat dalam guni.
Warga kota Pontianak dikejutkan dengan kejadian pembunuhan tragis seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun.
Lebih memilukan, mayatnya ditemui di dalam sebuah guni pada Khamis, 23 Ogos lalu oleh ayahnya berhampiran kawasan rumah mereka.
Media tempatan melaporkan bahawa pembunuhan itu dilakukan oleh ibu tiri mangsa kerana perasaan cemburu dan iri hati terhadap kanak-kanak tersebut.
“Dia (suspek) berasa suami saya lebih menyayangi anak kandungnya berbanding anak tiri, jadi kemarahan itu dilepaskan kepada anak saya,” ujar ibu kandung mangsa yang dikenali sebagai Tiwi kepada pemberita pada Isnin.
Tiwi menjelaskan bahawa dia mengetahui motif pembunuhan itu selepas berjaya menemui suspek di balai polis. Susulan itu, Tiwi berharap pihak polis dapat memberikan hukuman yang setimpal kepada suspek.
“Saya mengetahui anak saya meninggal dunia daripada bekas suami saya pada malam Khamis. Malam itu saya benar-benar terkejut apabila menerima berita yang sangat menyedihkan ini,” katanya lagi.
Suspek kini telah ditahan oleh polis daerah Kalimantan Barat dan bakal didakwa serta dibicarakan atas kesalahan membunuh.