Budak 3 tahun positif dadah selepas jiran beri minum air mineral.
Malang nasib kanak-kanak berusia tiga tahun di Samarinda, Indonesia, yang disahkan positif dadah selepas diberi minum air mineral oleh wanita yang juga jirannya.
Tribunnews melaporkan, wanita berusia 51 tahun itu menjadi suspek utama selepas disyaki melakukan perbuatan berkenaan.
Kes itu disahkan oleh Ketua Polis Samarinda, Ary Fadli yang memaklumkan suspek sudah ditahan.
Terdahulu, Ketua Pasukan Reaksi Cepat Perlindungan Perempuan dan Anak (TRC PPA) Kalimantan Timur, Diah Lestari memaklumkan insiden itu berlaku ketika mangsa bersama ibunya berkunjung ke rumah jirannya untuk membantu mencabut uban.
Tidak lama selepas itu, mangsa berada haus dan meminta minum kepada ibunya.
“Mangsa kemudian diberi minum oleh jiran berkenaan,” katanya.
Malam hari sama, Diah berkata, anaknya tiba-tiba susah untuk tidur dan jadi hiperaktif selain berpeluh serta berkelakuan aneh.
Bagi mendapatkan kepastian, ibu mangsa menghubungi jirannya menerusi kiriman mesej.
Wanita itu menjawab air yang diberikan kepada mangsa dibawa dari warung tempatnya bekerja.
Selepas diperiksa dengan pemilik warung, minuman diberikan tidak dijual di warung itu.
Ibu mangsa kemudian menghubungi Badan Narkotika Nasional (BNN) menerusi telefon, namun tidak mendapat maklum balas.
Akhirnya, ibu mangsa ke salah satu hospital di Samarinda untuk menjalani pemeriksaan sebelum mengetahui bahawa anaknya positif dadah.
Kanak-kanak itu kemudian diberi rawatan, namun enggan tidur, meragam dan tidak boleh tidur.