Buaya terbesar berumur 110 tahun mati.
Buaya terbesar dalam kurungan di Australia, yang dipercayai berusia 110 tahun, telah mati.
Perkara ini disahkan oleh pusat perlindungan haiwan liar, Marineland Melanesia Crocodile Habitat, di Facebook hari ini.
Cassius, buaya yang sepanjang 5.48 meter dan mempunyai berat lebih dari satu tan, mati selepas mengalami kemerosotan kesihatan sejak 15 Oktober lalu.
“Ia sangat tua dan dipercayai hidup melebihi usia biasa buaya liar. Ia akan dirindui selamanya,” kata pusat perlindungan itu yang terletak di Pulau Hijau berhampiran bandar pelancongan Queensland, Cairns.
Menurut laman web pusat perlindungan haiwan liar itu, Cassius telah lama ditempatkan di situ sejak 1987.
Ia dipindahkan dari wilayah utara negara berkenaan, di mana buaya merupakan antara tarikan terpenting dalam industri pelancongan kawasan itu.
Cassius, yang merupakan spesies buaya air masin, memegang gelaran Rekod Dunia Guinness sebagai buaya terbesar dalam kurungan.
Pada tahun 2013, Cassius ‘merampas’ gelaran itu selepas kematian Lolong, buaya Filipina yang memiliki panjang 6.17 meter.