Bot ‘Sarah Joe’ dinaiki 5 sekawan yang hilang ditemui selepas 10 tahun, apa sebenarnya berlaku?

Photo of author

By Syima Iza

Bot ‘Sarah Joe’ dinaiki 5 sekawan yang hilang ditemui selepas 10 tahun, apa sebenarnya berlaku? PADA 11 Februari 1979, lima sekawan sepakat untuk keluar memancing ke laut menaiki sebuah bot bersaiz sederhana di Pulau Hawaii, Amerika Syarikat. Peter Hanchett, Benjamin Kalama, Ralph Malaiakini, Scott Moorman dan Patrick Woesner menaiki sebuah bot yang diberi nama Sarah Joe, sebuah bot sepanjang 17 kaki dengan enjin 85 kuasa kuda.

Mereka memulakan pelayaran dari bandar Hana. Cuaca ketika itu cerah. Sebagai pelayar amatur, lima sekawan itu tidak tahu ada petanda buruk sedang menghampiri mereka. Dua jam selepas berlayar, cuaca yang cerah mula bertukar rupa. Tekanan udara rendah mula menghampiri kepulauan Hawaii yang dijangka akan dilanda ribut. Para nelayan yang pulang ke darat petang itu melaporkan, ombak mengganas hingga mencapai ketinggian 40 kaki. Angin amat kuat diiringi hujan lebat.

Dalam cuaca buruk begitu, bagaimana bot sekecil Sarah Joe mampu bertahan? Pencarian di sekitar pesisir pantai mula dijalankan petang pada tarikh lima sekawan itu keluar ke laut. Namun, ia ditangguhkan sehingga ribut reda.

Bot 'Sarah Joe' dinaiki 5 sekawan yang hilang ditemui selepas 10 tahun, apa sebenarnya berlaku?

Keesokannya, pencarian disambung semula. Bukan hanya di darat, bahkan pencarian di laut juga melibatkan bot dan pesawat untuk tinjauan daripada ruang udara. Pun begitu, kelibat Sarah Joe tidak kelihatan. Seminggu kemudian, pencarian dihentikan dan pakar beranggapan Sarah Joe sudah tenggelam bersama lima sekawan itu angkara ribut taufan.

Bot 'Sarah Joe' dinaiki 5 sekawan yang hilang ditemui selepas 10 tahun, apa sebenarnya berlaku?
Lima sekawan yang keluar memancing menaiki bot bernama Sarah Joe pada 11 Februari 1979.

Pun begitu, keluarga lima sekawan itu belum berputus asa. Mereka mengeluarkan kos sendiri termasuk sumbangan orang ramai untuk melakukan pencarian selama tiga minggu lagi, dengan memfokuskan pencarian di beberapa buah pulau terpencil.

Hasilnya tetap hampa. Pencarian tidak menemui sebarang tanda Sarah Joe. Akhirnya, keluarga lima sekawan ini pasrah. Sebuah memorial dibina untuk mengingati kehilangan lima sekawan itu.

Sarah Joe dan krewnya tidak pernah ditemui. Masa berlalu dan penduduk pun mulai lupa dengan kes tersebut sehinggalah 10 tahun kemudian…

Bot 'Sarah Joe' dinaiki 5 sekawan yang hilang ditemui selepas 10 tahun, apa sebenarnya berlaku?
Memorial yang dibina untuk memperingati lima sekawan itu.

Penemuan Bot Dan Rangka Tulang
SEPTEMBER 1988, sekumpulan anggota pencarian mengikuti misi hidupan liar ke pulau tanpa penghuni di bahagian barat Pasifik. John Naughton, salah seorang ahli biologi yang terlibat dalam misi ini.

Taongi Atoll, sebuah pulau dalam Kepulauan Marshall yang terletak dalam jajahan Mikronesia di Lautan Pasifik. Semasa Naughton sampai ke pulau tidak berpenghuni ini, dia menemui sebuah bot lama yang terdampar di pesisir pantai.

Berdasarkan nombor pendaftaran bot tersebut, ia disahkan sebagai Sarah Joe, bot dinaiki lima sekawan yang hilang sedekad yang lalu. Sarah Joe telah ditemui. Namun apa yang berlaku kepada lima sekawan itu masih terus jadi persoalan.

Sarah Joe bot yang ditemui terdampar di pulau batu karang tidak berpenghuni dalam Kepulauan Marshall
Setelah sedekad hilang, bot Sarah Joe yang dinaiki lima sekawan itu ditemui terdampar di sebuah pulau.

Hasil pencarian di sekeliling pulau tersebut, mereka menemui lambang salib yang diperbuat daripada kayu yang dipacak atas sebuah kubur. Turut ditemui cebisan tulang di sebalik batu yang disusun mengelilingi kubur tersebut.

Mereka turut menemui beberapa helai kertas kosong di atas tulang rangka kubur itu. Kertas itu tersusun seperti manuskrip dan di setiap helaiannya ada beberapa kepingan timah. Naughton sendiri tidak tahu apa fungsi kertas-kertas tersebut.

Tulang yang ditemui dihantar untuk ujian makmal. Keputusan menunjukkan tulang itu kepunyaan Scoot Moorman, salah seorang lima sekawan yang menaiki bot Sarah Joe. Pencarian terus dilakukan di pulau itu, namun tulang temulang yang ditemui hanya kepunyaan Scoot. Jadi, di mana mayat-mayat krew yang lain?

inilah kubur yang ditemui Naughton yang disahkan kepunyaan Scott Moorman 1024x576 1 e1672976977747
Tulang yang ditemui di pulau tersebut adalah kepunyaan Scott Moorman.
jarak Sarah Joe ditemui terdampar lebih kurang 2300 batu dari Hawaii yang mengikut jangkaan pakar maritim mengambil masa tiga bulan untuk sampai ke pulau tersebut 1
Jarak menunjukkan tempat asal bot lima sekawan ini berlepas dan ditemui 10 tahun kemudian.

Beberapa persepsi timbul daripada penemuan ini. Berkemungkinan Scoot bersama bot itu dihanyutkan hingga terdampar ke pulau tidak berpenghuni itu. Namun, jika empat yang lain hilang ditelan ribut dan hanya Scoot seorang yang selamat sampai ke pulau itu, siapa pula yang mengebumikan mayat Scoot? Tambahan pula kubur Scoot yang ditemui dikatakan masih baru berbanding jangka masa kehilangan lima sekawan itu yang sudah 10 tahun.

Antara teori yang timbul, pengebumian Scoot dibuat berdasarkan tradisi Timur kerana dikaitkan dengan adat kaum Cina yang akan meletakkan helaian kertas yang dipisahkan dengan kepingan timah bersama si mayat.

Boleh jadi ada sebuah kapal nelayan asing yang singgah ke pulau itu dan menemui Scoot yang sedang nazak atau sudah meninggal dunia lalu mengebumikan mayatnya. Tambahan pula dalam jangka waktu kehilangan bot tersebut, dikatakan sebuah kapal nelayan dari Taiwan pernah menceroboh perairan Kepulauan Marshall. Mungkinkah krew kapal Taiwan itu yang mengebumikan Scoot mengikut tradisi mereka?

Bagaimana dengan empat rakan Scoot yang lain? Penyiasat berpendapat empat krew Sarah Joe sudah terbunuh dalam ribut taufan di laut. Mungkin hanya Scoot Maoormon saja yang terselamat dan akhirnya terdampar di pulau terpencil itu.

Pun begitu, masih banyak persoalan belum mampu dirungkai. Bagaimana bot sekecil Sarah Joe mampu mengharungi ribut taufan dan terdampar di sebuah pulau batu karang yang jauhnya lebih 2,300 batu dari Hawaii. Pakar maritim berkata, tempoh hanyut bot Sarah Joe dari Hawaii untuk sampai ke pulau itu mengambil masa tiga bulan.

Lagi satu yang menghairankan, empat tahun sebelum kedatangan Naughton, sekumpulan pasukan pengkaji terlebih dahulu sudah tiba ke pulau tersebut. Hasil pencarian mereka tidak menemui sebarang kubur manusia atau bot lama di pulau tersebut.

Jadi, di mana sebenarnya Sarah Joe berada selepas berlepas dari Hawaii pada 11 Februari 1979 sehingga tahun 1984 (tahun sewaktu pasukan pengkaji pertama tiba di pulau tersebut)?

Persoalan itu terus mengusutkan lagi kes tersebut. Persoalan bot Sarah Joe dan apa yang berlaku pada lima sekawan itu kekal misteri sehingga ke hari ini.

Jangan lupa follow kami! Twitter , Facebook

Baca Lagi:
Lelaki terkejut makan nasi kandar di Pavilion KL kena caj RM86
Pisau diletakan di tangga taman permainan kanak-kanak, sudah ada yang kena sampai berdarah
Azizulhasni Awang kongsi pengalaman detik nyawa hampiri ‘sakaratul maut’