Bomba tangkap ‘ular buta’ ular paling kecil di dunia.
Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama (PBSSU) telah menerima panggilan mengenai penemuan ular paling kecil di dunia di Jalan Zaitun HillPark, di sini.
Menurut perkongsian di Facebook PBSSU, laporan diterima daripada seorang pengadu yang mendapati terdapat seekor ular di pekarangan rumahnya.
“Setibanya di lokasi, pencarian terus dijalankan dan pasukan mendapati ia adalah seekor ular yang paling kecil di dunia, iaitu Brahminy Blind Snake atau ular buta.”
“Pergerakannya sama seperti ular, kerana ia memang seekor ular,” kongsinya melalui kemas kini di Facebook.
PBSSU memaklumkan bahawa ular tersebut berjaya ditangkap sebelum dimaklumkan ke Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bestari Jaya untuk kemas kini status kes.
Untuk rekod, ular buta Brahminy atau ular buta bunga adalah sangat unik kerana saiznya yang kecil serta kemampuannya untuk hidup di kawasan tanah yang gembur.
Panjangnya sekitar 5 hingga 15 sentimeter dan saiz serta bentuknya menyerupai cacing tanah.
Kulitnya licin dengan warna coklat gelap, kelabu, atau hitam, menjadikannya mudah untuk menyamar di dalam tanah.
Ular ini biasanya hidup di dalam tanah, di bawah batu, kayu mati, atau timbunan sampah daun, dan ia mudah ditemui di kawasan beriklim tropika dan subtropika.
Spesies ini dinamakan ular buta kerana matanya yang sangat kecil dan hanya mampu mengesan cahaya, bukan untuk melihat seperti ular lain.
Spesies ini mampu membiak secara partenogenesis, iaitu tanpa persenyawaan daripada jantan, menyebabkan kebanyakan populasi terdiri daripada betina sahaja.
Ular ini tidak berbisa dan tidak berbahaya kepada manusia. Makanannya terdiri daripada larva serangga kecil seperti semut dan anai-anai, menjadikannya bermanfaat dalam mengawal populasi serangga.