Jerman diramal akan memulakan kempen Euro 2024 dengan langkah kanan apabila dijangka mencatat kemenangan ke atas Scotland pada aksi pertama, awal pagi esok.
Tuan rumah akan menentang skuad bimbingan Steve Clarke di Arena Allianz di hadapan penyokong Jerman yang dijangka memenuhi stadium.
Ramalan yang menjangkakan skuad bimbingan Julian Nagelsmann akan muncul sebagai pemenang bukanlah datangnya daripada penganalisis atau legenda bola sepak, namun ia adalah daripada seekor orang utan di Zoo Dortmund.
Walter, 35, bukanlah asing dalam melakukan ramalan bola sepak kerana pernah membuat ramalan pada kempen Piala Dunia dan Euro, serta kelab Jerman di pentas Eropah. Dua baldi diletakkan di dalam kandangnya, dengan satu diletakkan selendang Jerman dan satu lagi selendang Scotland.
Walter sudah biasa dengan prosedur itu, tetapi kali ini dia membuat kelainan untuk semua orang yang menonton gelagatnya.
Jurucakap zoo, Marcel Stawinoga berkata: “Walter berhenti di hadapan baldi, kemudian dia melihat kedua-duanya dan dia sangat yakin menuju ke baldi Jerman, jadi saya fikir ia pasti kemenangan untuk pasukan Jerman apabila menentang Scotland.
“Tetapi kemudian dia pergi ke baldi Scotland, jadi mungkin perlawanan dengan Scotland sangat sengit.”