Boleh ke makan biskut berbentuk haiwan? Ini jawapannya.
Sekarang, pelbagai variasi biskut boleh didapati di pasaran, termasuk biskut yang dijual dalam bentuk haiwan comel.
Keunikan ini membuatkan kanak-kanak sangat tertarik dan teruja untuk mendapatkan biskut berbentuk haiwan, sambil menikmatinya.
Namun, terdapat ibu bapa yang bimbang untuk memberikan biskut berbentuk haiwan kepada anak-anak mereka. Kebimbangan ini timbul kerana bentuk biskut menyerupai makhluk hidup, di mana perbuatan membuat gambar haiwan secara lengkap dianggap dilarang dalam agama.
Persoalannya, adakah memakan biskut berbentuk haiwan dibenarkan?
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, menerusi hantaran terbaharu di laman Facebook miliknya, menjelaskan bahawa ulama mengharuskan pembuatan makanan seperti biskut dalam bentuk makhluk bernyawa, termasuk haiwan, untuk dimakan.
Beliau turut memetik pandangan Majlis Fatwa Jordan yang menyatakan:
“Pembuatan sebahagian makanan dalam bentuk bertubuh itu tidak salah, sekalipun berbentuk makhluk bernyawa, kerana ia adalah hidangan untuk dimakan, bukan dibuat untuk disucikan atau dimuliakan.”
“Justeru, harus membuat makanan seperti biskut berbentuk makhluk bernyawa. Bahkan, ia juga diharuskan dalam urusan jual beli dan memakannya, kerana tidak dianggap sebagai mengagungkan makhluk,” jelasnya menerusi hantaran tersebut.
Selain biskut berbentuk haiwan, makanan seperti manisan dan kek dalam bentuk yang serupa juga tiada masalah untuk dihasilkan atau dimakan.
Dalam artikel #4606: Biskut Berbentuk Haiwan, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menjelaskan bahawa makanan seperti itu dihasilkan untuk dimakan dan dianggap telah ‘dihinakan’ kerana dijamah, bukan untuk disucikan atau diagungkan.