Menurut Ustazah Asma’ lagi, berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj, terdapat tujuh keperluan nafkah yang wajib suami sediakan.
Dalam institusi perkahwinan, suami berperanan sebagai ketua keluarga dan pencari nafkah utama. Di antara keperluan asas yang wajib disediakan bagi keluarga termasuklah tempat tinggal, pakaian, dan makanan.
Namun, pada zaman ini, tidak semua suami memenuhi tanggungjawab tersebut. Terdapat yang kurang rajin dalam memberi nafkah sehingga menyebabkan isteri terpaksa mengambil wang secara rahsia tanpa pengetahuan suami.
Suami Wajib Beri Nafkah kepada Isteri
Oleh itu, pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun, menerangkan hukum jika seorang isteri bertindak sedemikian.
Menurut pendakwah tersebut, seorang suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
“Menurut Al-Fiqh al-Manhaji, kadar nafkah makanan asas adalah dua cupak bagi mereka yang berkemampuan, satu setengah cupak bagi mereka yang sederhana, dan satu cupak bagi mereka yang miskin.
“Begitu juga dengan lauk-pauk, pakaian, dan perkara-perkara lain ditentukan mengikut adat setempat dengan syarat tidak bercanggah dengan hukum syarak,” jelasnya bagi menjawab pertanyaan seorang pengikut beliau di Facebook.
Ustazah Asma’ menjelaskan lagi, berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj, suami perlu menyediakan tujuh keperluan nafkah wajib iaitu:
- Makanan
- Barangan dapur
- Pakaian
- Tempat tinggal
- Alat untuk membersihkan diri
- Barangan rumah
- Pembantu kepada isteri jika biasanya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu)
Isteri Dibenar Ambil Wang Suami secara Rahsia Bergantung Kepada Keadaan
Jika suami telah memberi nafkah yang mencukupi bagi isterinya tanpa meremehkan tanggungjawab dan keperluan asas isi rumah, maka isteri tidak dibenarkan mengambil wang suami secara rahsia.
Namun, jika suami tidak berbuat demikian, maka isteri dibenarkan mengambil wang suami untuk mencukupi keperluan harian.
Tambah Ustazah Asma’ lagi, suami yang mengabaikan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap melakukan dosa seperti yang dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW.
“Cukuplah seorang lelaki itu dianggap berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya terhadap sesiapa yang berada di bawah jagaannya (Hadis Riwayat Abu Daud).”
Suami Tidak Patut Ambil Harta Isteri Tanpa Izin
Menjawab kepada pertanyaan sama ada suami melakukan perkara yang sama, berdasarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seorang suami sepatutnya memberi nafkah kepada isteri.
“Antara hikmah Allah memberi tanggungjawab kepada lelaki supaya memberi nafkah kepada isterinya adalah agar rasa kasih sayang, penghormatan, dan cinta isteri menjadi subur sehingga melahirkan kasih sayang, kecintaan, dan kebahagiaan dalam hidup berkeluarga. Itulah yang kita harapkan.
“Kami tegaskan bahawa tidak sewajarnya suami mengambil harta isteri tanpa izinnya.