Boleh ke anak lelaki dah baligh tidur sebelah ibu?, Ini jawapanya.
Biasanya, apabila bercuti bersama keluarga, kita akan menyewa bilik hotel atau inap desa yang sama.
Namun, ada kalanya penginapan yang disewa ‘terlebih muatan’, menyebabkan ada ahli keluarga terpaksa tidur di ruang tamu atau berhimpit-himpit dalam satu bilik. Situasi ini kadang-kadang menyebabkan anak lelaki yang sudah dewasa tidur bersebelahan dengan ibunya di atas satu katil atau tilam.
Apakah pandangan Islam mengenai perkara ini?
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menjelaskan bahawa langkah terbaik adalah dengan menyewa bilik berasingan untuk anak lelaki dewasa dan ibunya. Dalam ayat ke-58 dan 59 surah an-Nur, ALLAH SWT menyuruh anak yang telah baligh untuk meminta izin daripada ibu bapa sebelum masuk ke bilik mereka dalam apa jua keadaan.
“Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa apabila kanak-kanak telah baligh, mereka wajib meminta izin dalam semua keadaan, terutama pada waktu yang mungkin seseorang sedang bersama pasangannya. Ini bertujuan untuk mengelakkan anak daripada melihat aurat mereka,” katanya, seperti dipetik daripada artikel #3282: Bermalam sebilik dengan ibu kandung di hotel, yang disiarkan di laman web Maktabah Albakri pada Sabtu.
Daripada ‘Ata’ bin Yasar RA, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, adakah aku perlu meminta izin kepada ibuku sebelum masuk ke tempatnya?” Baginda menjawab: “Ya.” Lelaki itu berkata: “Aku tinggal bersamanya di rumah.” Rasulullah SAW menjawab: “Mintalah izin kepadanya.” Lelaki itu berkata lagi: “Aku berkhidmat untuknya.” Baginda SAW bersabda: “Mintalah izin kepadanya, adakah kamu suka melihatnya tidak berpakaian?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “Maka mintalah izin kepadanya.” (Hadis Riwayat Malik, Ibnu Abi Syaibah dan Abu Daud)
Tambah beliau, majoriti fuqaha berpandangan bahawa bapa atau wali wajib memisahkan tempat tidur anak-anak yang berusia 10 tahun, sama ada anak itu sejenis jantina atau lelaki dan perempuan, termasuk antara anak dan ibu bapa.
Bagaimanapun, jika anak lelaki dewasa dan ibu tidak mampu menyewa bilik berasingan, Dr. Zulkifli menasihatkan mereka agar berusaha untuk dipisahkan daripada tidur di katil yang sama.
“Anak tersebut perlu mendahulukan ibunya untuk tidur di atas katil, manakala dia boleh tidur di lantai atau meletakkan pemisah seperti bantal antara dirinya dengan ibunya, atau apa sahaja yang sesuai,” katanya. Ia selaras dengan firman-NYA dalam ayat ke-16 surah at-Taghabun: “Oleh itu bertakwalah kamu kepada ALLAH sedaya upaya kamu.”
Beliau turut menjelaskan bahawa langkah tersebut adalah untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini dan menghindarkan tohmahan masyarakat.
“Ia berdasarkan prinsip bahawa seorang Muslim perlu menghindari diri daripada perkara yang boleh menyebabkan dirinya ditohmah dan dicela,” tulisnya.